“Ya, saya memohon untuk bersara awal”- Raja Rozela

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau bersara awal.

Raja Rozela sebelum ini mengetuai pendakwaan yang mana Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

“Ya, saya memohon untuk bersara awal dan mohon bercuti sebelum bersara mulai 1 November ini,” lapor BH, pada Rabu.

Sebelum ini, perbicaraan kes Yayasan Akalbudi yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, menerusi kenyataan berkata Raja Rozela sudah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April lalu dan permohonannya diluluskan berkuat kuasa 1 November ini.

Tegasnya, keputusan Jabatan Peguam Negara menggantikan Timbalan Pendakwa Raya itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang teliti.

Sehubungan itu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan baharu berdasarkan pengalaman luasnya hampir 30 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zahid ketika membela diri pada 22 Mei tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat