“Saya bukan pengkhianat, tapi Anwar” – Azmin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau bukanlah pengkhianat seperti dilabel.

Sebaliknya beliau mendakwa pengkhianat sebenar ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menggerakkan Rancangan 16 September 2008, Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson.

Dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik malam tadi, Azmin ditanya adakah beliau pengkhianat ketika dituduh menjadi ‘dalang’ Langkah Sheraton.

“Tidak. Bagaimana saya mengkhianati mandat rakyat dalam Langkah Sheraton.

“Rakyat kena tahu apa yang berlaku ialah pertembungan, perebutan kuasa di antara dua pemimpin politik iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

“Anwar terlalu rakus untuk menjadi Perdana Menteri,” tegas Azmin.

Justeru dalam podcast itu Azmin memperincikan kronologi yang berlaku sehingga tercetusnya Langkah Sheraton sehingga berlakunya pertukaran kerajaan.

Jelas Azmin, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menetapkan tarikh tertentu transisi pentadbiran Mahathir kepada Anwar.

“Tidak ada deal, cuma ada sekeping kertas sebagai persefahaman bahawa Mahathir akan menyerahkan kepada Anwar tapi tidak ada time frame ditetapkan dalam persefahaman ini. Kalau Mahathir nak duduk 2 tahun, 20 tahun, 50 tahun… itu tidak ditetapkan.

“Kalau nak kata ikut semangat bincang elok-elok, jangan desak Mahathir tetapkan tarikh tertentu dan ia berlaku Jumaat 21 Februari dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PH di mana Anwar mahu Mahathir menentukan tarikh selepas Persidangan Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 2020.

“Sudah tentu sebahagian besar daripada pimpinan tertinggi dan saya antara yang tidak setuju dengan pendekatan itu kerana sekiranya Mahathir menentukan tarikh segera selepas APEC apa akan jadi kepada APEC di mana kita ada 21 negara seluruh dunia di KL kalau berlaku secara fizikal -tapi sebab pandemik, PM akan dilihat sebagai tidak berkredibiliti, ia beri imej buruk kepada negara .

“Berlaku pertengkaran malam itu, sepatutnya izinkan Mahathir tentukan tarikh untuk beralih kepada Anwar,” katanya.

Tambah Azmin lagi, Anwar juga pernah paksa Ahli Parlimen Port Dickson kosongkan kerusi untuk beliau beri tekanan kepada Mahathir.

“Ini tindakan-tindakan tidak bertanggung jawab, itulah pengkhianat sebenarnya kerana ahli Parlimen Port Dickson dipilih oleh rakyat secara demokrasi, menang dalam pilihan raya, masih hidup sampai pagi ini mengapa kamu paksa dia letak jawatan?

“Tindakan Anwar itu menafikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada ahli Parlimen Port Dickson kerana kamu bercita-cita untuk menjadi ahli Parlimen dan memberikan tekanan kepada Mahathir.

“Kenapa tak bincang soal Langkah Port Dickson, Langkah Kajang sibuk nak bincang Langkah Sheraton? soal Azmin lagi.

Tegas beliau, kemenangan PH pada 2018 juga kerana faktor kehadiran Mahathir bersama PH dan Anwar kena terima hakikat itu.

Sementara itu, Azmin menjelaskan pada ketika krisis itu beliau adalah pro PH.

“Saya pro PH pada ketika itu, Mahathir daripada PH, saya bukan ambil Dr Mahathir daripada Umno-BN.

“Beliau adalah pemimpin PH dan yang membawa kemenangan pada PH pada 2018 ialah Dr Mahthir bukan Anwar.

“Kita bawa nama Anwar dalam banyak pilihan raya tak pernah menang pun. Tapi bila kita tukar strategi kita pada 2018 kita angkat nama Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, kita menang,” ujar bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi.

Azmin juga memberitahu bahawa beliau bukanlah figura yang menumbangkan PH melalui Langkah Sheraton.

“Selepas 21 Februari 2020, pada Ahad 23 Februari Mahathir dapat 131 sokongan yang mendukung sebagai PM. Saya hadir mesyuarat G-6 yang disertai Abang Johari Openg, Shafie Apdal, Zahid Hamidi, Abdul Hadi Awang, Muhyiddin Yassin dan saya di rumah Mahathir 4 petang 23 Februari dan kita membawa 131 SD supaya Dr Mahathir kuat, ada jumlah yang besar tidak ada tekanan daripada mana-mana individu untuk menganggu beliau untuk teruskan kepimpinannya sehinggalah satu tempoh beliau ingin meletak jawatan.

“Kena ingat sebelum itu apa berlaku, Anwar mencari SD sampai ke Taiwan, Korea.

“Hari ini nak bebankan kepada saya pengkhianat, siapa pengkhianat sebenarnya- Langkah Kajang, Langkah Kajang, 16 September itulah modus operandi yang diguna oleh Anwar untuk merampas kuasa sama ada daripada BN sebelum itu mahupun daripada Mahathir

“Tapi saya kira selepas kita memberikan 131 kepada Mahathir dan pada jam 6 petang SD itu kami persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong

“Pada Ahad G-6 mengadap Tuanku untuk menyatakan sokongan kami. Selesai 7 malam kita kembali ke Hotel Sheraton untuk meraikan ahli-ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan kepada Mahathir bukan kepada Muhyiddin, bukan juga kepada saya,” jelas Azmin panjang lebar.

Beliau menegaskan, “khianat ini kalau saya buka pintu Mahathir saya tarik dia keluar, tolak dia lepas tu saya masuk atau Muhyiddin- itu khianatlah, ini tak ada siapa letak jawatan kita hanya beri sokongan.

“…dan di Sheraton malam itu tak ada ucapan pun, sekadar meraikan ahli Parlimen yang telah datang dari Sabah, Sarawak, Perlis, Johor menandatangani SD menyokong calon PH.

“Dr Mahathir adalah PH tapi malangnya, tak tahu apa sebab. Pada hari Isnin 24 Februari, saya dan Muhyiddin hadir ke rumah beliau untuk melaporkan apa yang berlaku dalam Istana supaya Mahathir faham ketika itu beliau sudah pun meletak jawatan di luar pengetahuan kami.

“Jadi bila ada kekosongan bukan saya suruh letak jawatan. Ahad kami memperkukuhkan kami tidak suruh beliau kosongkan kerusi supaya beliau ada kekuatan sebagai pemimpin PH tapi malangnya Isnin Subuh Mahathir telah surat kepada Agong untuk letak jawatan.

“Saya tahu pada pagi, sekitar 1 tengah hari saya ke rumah beliau untuk dapatkan penjelasan dan akhirnya pada jam 5 petang beliau menghadap Agong dan beliau dilantik sebagai PM interim,” katanya.

Azmin memaklumkan dalam proses itu, hari Selasa berlaku pemilihan.

“Kita semua berada di istana untuk membuat pemilihan dan Mahathir kalah.

“Kami masuk tu undi dr Mahathir walaupun sebahagian Umno tidak, sebahagian PAS tidak, saya tahu kerana mereka tulis bubar Parlimen,kerana mereka rasa kecewa.

“Ahad mereka menyokong Mahathir, Isnin dia letak jawatan jadi mereka rasa malu kepada Istana dan Agong setelah sokong Mahathir, beliau letak jawatan, maka mereka letak bubar Parlimen sebab itu Mahathir kalah.

“Bila Mahathir kalah, maka Istana terpaksa meneruskan proses mencari siapa yang dapat mendapat majoriti dan Muhyiddin dapat. Kenapa kamu salahkan saya?

“Di mana pengkhianatan yang berlaku di Sheraton? Saya tidak faham,” soal Azmin.

Dalam pada itu Azmin ditanya apakah keperluan SD yang telah ditandatangani 131 orang itu sebagai sokongan kepada Mahathir sedangkan beliau memang sudah menjadi Perdana Menteri ketika itu.

“Betul Mahathir Perdana Menteri tapi ada gangguan daripada orang tertentu setiap minggu, boleh semak rekod saya akan jadi PM.

“Kenyataan ini menyebabkan ketidakstabilan dalam ekonomi negara, ramai diplomat asing, pelabur yang datang jumpa saya tolong hentikan ini kerana mereka ingin menarik lebih ramai pelabur masuk tapi kalau dia tahu akan berlaku perubahan ini menyebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi Malaysia,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat