‘Biar Norza buka surat jawapan Misbun’

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada Datuk Misbun Sidek kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau sebaliknya, akan diketahui dalam masa terdekat ini.

Itu jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai yang menerima surat jawapan Misbun yang disampaikan oleh pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad, ketika ditemui di ABM, hari ini.

Michelle berkata, surat itu ditujukan kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, jadi lebih baik beliau membukanya.

“Biar presiden yang membacanya terlebih dahulu. Selepas itu nanti, kami akan keluarkan kenyataan,” kata Michelle.

Kamal hadir ke BAM untuk bertemu Michelle bagi menghantar surat jawapan Misbun berhubung tawaran dikemukakan BAM.

Mengulas mengenai keadaan Misbun ketika ini, Kamal berkata, beliau kini berada dalam keadaan tenang, namun memilih untuk menyendiri.

“Alhamdulillah. Datuk (Misbun) sihat. Ketika ini dia memilih untuk tidak berjumpa sesiapa kecuali saya dan Datuk Jalani Sidek, namun dia berada dalam keadaan tenang.

“Cuma dia tak nak beri sebarang komen apa-apa kecuali pasal kerja saja.

“Untuk surat ini, Misbun ambil masa dalam dua hari selepas menerima surat tawaran secara fizikal daripada BAM pada Isnin lalu.

“Apa isi kandungan dalam surat Misbun itu biarlah BAM yang mengetahuinya dahulu. Selepas itu terserah kepada BAM untuk mengumumkannya. Saya hanya menjalankan tugas dan amanah daripada Misbun,” katanya.

Biarpun begitu, selepas hampir dua minggu meninggalkan skuad remaja negara, Misbu masih tetap mengikuti perkembangan latihan bekas pemainnya.

Kamal berkata, pemain masih menghubungi Misbun bagi memaklumkan mengenai program latihan mereka.

“Memang sejak dari awal lagi Misbun beritahu kepada pemainnya, jika mahukan sebarang bantuan boleh terus menghubunginya.

“Malah, Misbun masih buat laporan prestasi pemainnya sebelum ini sehingga ke hari ini,” katanya.

Norza sebelum ini memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.

Beliau turut menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat, hujung tahun ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat