Bukan sekadar mengajak media buat liputan…

- Advertisement -

Baru-baru ini, penulis ada berbual dengan rakan industri hiburan mengenai kemunculan ramai promoter atau penganjur konsert baharu di Malaysia mengenai kredibiliti mereka.

Penganjur konsert menjadi nadi penting dalam menyajikan hiburan pentas secara langsung terbaik buat peminat tempatan. Itu lebih penting berbanding mengaut keuntungan semata-mata.

Bagi penganjur baharu yang belum cukup kuat profilnya, mereka perlu buktikan hasil kerja terbaik menerusi penganjuran yang sistematik, berkualiti, menepati piawaian, selain setara dengan harga tiket dibayar peminat.

Namun, jangan dilupakan pula hubungan dengan pihak media. Mereka perlu menjalin hubungan baik atau sebolehnya tahu bagaimana tatacara membabitkan media dalam mempromosikan acara mereka.

Aspek itulah sebenarnya yang menarik perhatian penulis untuk utarakan. Selama lebih 12 tahun pengalaman menghadiri ribuan konsert, tidak dinafikan ada yang terlepas aspek menjaga baik hubungan dengan media.

Sebagai contoh, ada penganjur yang sambil lewa dalam hal menjemput media membuat liputan konsert mereka. Jemputan dibuat sekadar cukup syarat tanpa menggunakan pasukan perhubungan awam yang profesional.

Dalam fikiran mereka, barangkali tiada kepentingan besar untuk memberi perhatian lebih kepada tugas media. Mungkin juga ada yang merasakan mereka tak perlukan media pun untuk memastikan acaranya berjaya.

Mentaliti itulah sangat membezakan penganjur sekarang dengan penganjur yang sudah lama bertapak kukuh dalam industri muzik.

Berdasarkan pengalaman penulis sehingga setakat ini, penganjur lama masih mengamalkan mekanisme menjemput media dengan begitu teliti. Mereka sentiasa beri kerjasama terbaik dalam memudahkan media.

Tugas penganjur bukan sekadar mengajak media buat liputan. Sebaliknya. banyak lagi termasuk usaha dapatkan slot temu bual, sediakan butiran konsert, serta logistik lain menyambut media di tapak konsert.

Namun, beberapa tahun ini penulis mendapati banyak aspek mereka terlepas pandang terutama penganjur baharu. Mereka cuma pentingkan apa yang memudahkan di pihaknya tapi tidak pada pihak media.

Contoh terbaru apabila penulis menghadiri sebuah konsert baru-baru ini. Bahagian mencari lokasi, pendaftaran, proses mengambil pas tentunya aspek yang penulis perlu dapatkan butiran lengkap.

Namun, penulis menghadapi kesulitan apabila individu daripada pihak penganjur sangat susah memberi maklum balas. Sedangkan butiran itulah yang penting untuk persediaan hadir konsert.

Satu lagi, permintaan untuk mendapatkan kenyataan mahupun maklumat lanjut mengenai acara. Sukarnya mereka nak beri kerjasama padahal permintaan itu untuk kebaikan dan promosi mereka juga.

Justeru, kepada penganjur baharu, mereka perlu memperhalusi lagi mekanisme kerjasama dengan media. Ambil tahu dan belajar memantapkan lagi pengurusan dalaman.

Sedangkan penganjur lama pun masih bekerja keras dan menjaga reputasi, yang baharu perlu lebih baik daripada mereka. Ekosistem industri hiburan ini konsepnya ringkas, iaitu saling memudahkan.

Penulis sendiri pun sudah menyaksikan sendiri pelbagai penganjur datang silih berganti. Yang mampu bertahan, adalah penganjur yang memiliki pengurusan pada tahap rapi dan profesional.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat