PM Lancar Buku ‘Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics’

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar lbrahim, pada Selasa telah melancarkan buku ‘Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics’

Anwar berkata hasil nukilan oleh tokoh besar menerusi penerbitan, pameran karya seni, sastera serta budaya wajar ditingkatkan dalam usaha memperkasa bidang itu sekali gus membangun ketamadunan bangsa yang boleh menjadi rujukan generasi akan datang.

Beliau mahu inisiatif tambahan dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Balai Seni Negara, Perpustakaan Negara (PNM) dan Arkib Negara (ANM) dalam mempromosikan karya berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran buku itu di Balai Seni Negara (National Art Gallery) dekat sini.

Turut hadir, Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Sing; Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad; dan Wairah Marzuki balu kepada Allahyarham Ismail Zain.

Anwar turut mengadakan lawatan ke Pusat Repositori Konservasi Seni Negara (Art Hospital) ditubuhkan pada 2019 yang telah menyimpan dan memulihara sebanyak 4,563 karya dari tahun 1958 hingga 2024 termasuk karya-karya lukisan Allahyarham Ismail Zain.

Art Hospital merupakan yang pertama di Asia Tenggara berperanan untuk mengurus, memelihara dan memulihara Koleksi Seni Visual Negara agar terus dapat dihayati, ditelaah, dimanfaat oleh masyarakat serta generasi kini dan akan datang.

Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan, penerbitan buku ‘Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics’ merupakan hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dan FERGANA.

Ianya menghimpunkan 33 teks tulisan Ismail Zain yang dihasilkan sepanjang 17 tahun, bermula tahun 1972 hingga 1989.

“Buku ini telah disunting oleh T.K. Sabapathy, Eddin Khoo dan Jaafar Ismail, dengan terjemahan utama oleh Pauline Fan yang menghimpunkan karya terbesar Ismail Zain dalam satu jilid, dalam Bahasa Melayu dan diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.

“Sebagai seorang seniman, kurator, pendidik, dan pemikir seni, beliau merupakan figura berpengaruh dalam landskap seni Malaysia,”kata kenyataan itu.

“Sumbangan Ismail Zain bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam pembangunan institusi awam seperti Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), memainkan peranan penting dalam ekosistem seni negara.

“Lebih daripada sekadar himpunan penulisan, buku ini menggambarkan bagaimana pemikiran Ismail Zain membentuk pemahaman terhadap perkembangan seni moden dan kontemporari,”katanya.

“Selain itu, ia turut mengupas mengenai peranan penulisan dalam dunia seni serta bagaimana ideanya boleh dibandingkan dengan wacana seni oleh pemikir lain.

“Menerusi penerbitan buku ini, diharap ianya bakal menjadi sumber rujukan bagi penggiat seni, ahli akademik, dan masyarakat umum dalam memahami peranan kritikan seni dalam perkembangan seni visual,”katanya lagi.

Orang ramai dan peminat seni boleh mendapatkan buku ‘Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics’ di Kedai Galeri, Balai Seni Negara dan untuk maklumat lanjut, serta ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat