KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah Abdul Muhaimin Malek, 43, diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Pengumuman Calon PN di Padang Awam, Tapah Road malam tadi.
“Kita telah membuat kajian di semua lapisan masyarakat … tentang ciri-ciri pemimpin atau calon yang diinginkan oleh rakyat Ayer Kuning.
“Pimpinan Pas, hasil tapisan mengikut keutamaan pada syarat dan kelayakan yang ditentukan, Majlis Syura Ulama Pas bersama pimpinan PN telah membuat keputusan memilih Abdul Muhaimin sebagai calon kita untuk Ayer Kuning,” katanya.
Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Maufakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, lapor BH di Tapah.
Tuan Ibrahim berkata, Muhaimin yang juga Yang Dipertua Pas Tapah adalah anak jati Ayer Kuning mampu merampas kerusi itu yang disandang Barisan Nasional (BN).
Semalam, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Dun Ayer Kuning.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini pula sekali lagi memilih Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS sebagai calonnya pada PRK itu.
PRK Ayer Kuning diadakan selepas penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia dalam perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
Berdasarkan biodata yang di kongsikan kepada media, beliau merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Ad-Din Ayer Kuning Tapah sejak 2015 sehingga kini dan mempunyai kelulusan dari Institut Al Fatah Al Islamy Damascus, Syria (2000-2006) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah ( 2011-2015).
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.
Allahyarham menjadi Adun Ayer Kuning pada penggal pertama selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu.