Pas Perjalanan My30 Tanpa Had Rekod Hampir Sejuta Langganan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan Prasarana Malaysia Berhad merekodkan hampir sejuta langganan sejak dilancarkan pada 15 Jun 2020, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pas tersebut mencatat langganan sebanyak 783,654 pas dengan nilai jualan RM23.5 juta pada 15 Jun hingga 31 Dis 2020, dan 190,765 pas dari 1 Jan hingga 8 Mac 2021 melibatkan nilai jualan RM5.1 juta.

“Kerajaan sebelum ini memperkenalkan My50 dan My100 yang mendapat sambutan baik, tetapi apabila kita (Perikatan Nasional) mengambil alih, kita merasakan ada ruang untuk menambah baik dengan menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Inisiatif My30 melibatkan tanggungan subsidi yang agak besar dan diharap membantu rakyat khususnya golongan B40,” katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin MOT, baru-baru ini.

Inisiatif My30 merupakan pas perjalanan tanpa had dengan bayaran RM30 untuk tempoh sebulan bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan serta terbuka kepada semua warganegara.

Wee turut berkongsi pencapaian peningkatan kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor daripada kedudukan ke-18 pada 2019 ke tangga 15 dalam World Top 50 Container Ports selain mengekalkan Pelabuhan Klang di tempat ke-12.

“Lebih mengagumkan, prestasi PTP pada tahun lalu mencapai kadar pertumbuhan tertinggi di dunia iaitu 8.47 peratus disebabkan strategi port clearance yang digunakan,” katanya.

Wee berkata kerajaan mengambil langkah ‘port clearance’ atau pelepasan barangan kargo dan kontena daripada pelabuhan setiap minggu bagi memastikan pembekalan keperluan asas rakyat tidak terbantut ketika mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19.

“Sebelum dilaksanakan pelepasan ini, ruang kapasiti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan PTP telah mencapai hampir 100 peratus berikutan pemberhentian pemindahan barangan ke gudang simpanan sebelum dihantar ke destinasi akhir.

“Apabila kita buat port clearance ketika PKP, kita telah bantu banyak barangan yang boleh dieksport dihantar keluar terus, barangan yang masuk pula tidak disekat dan ia melegakan pihak yang terlibat dalam import eksport,” jelasnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat