Hakikat Pengorbanan Ahmad Faizal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh buka mulut situasi sebenar terpaksa ditelan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilabel sebagai pengkhianat oleh bekas rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

Sebagai insan paling rapat dengan bekas Menteri Besar Perak ke-12 dan 13 itu beliau berkata, ini adalah kali kedua beliau perlu membuat keputusan besar sepanjang kariernya yang ditakdirkan menjadi antara pemimpin utama di negara ini.

“Jika sebelum ini beliau terpaksa meninggalkan insan yang paling dikaguminya Tun Dr Mahathir Mohamad kerana amanah dan tanggungjawab yang terletak dipundaknya.

“Kini sekali lagi beliau perlu membuat keputusan yang pastinya pada pandangan kita orang biasa ini tidak adil buat dirinya,” luah Mohd Hafez di Facebooknya.

Katanya, sebenarnya, telah lama disedari ketidakpuashatian pimpinan UMNO Perak pada Bersatu ini walaupun setelah bersama dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendedahkan, Pengerusi UMNO Perak sendiri pernah memberi satu kenyataan yang terlihat seakan tidak menghormati rakan gabungan dalam kerajaan PN, bila mana beliau mencadangkan supaya Bersatu dibubarkan.

“Saya bingung memikirkan pada waktu itu, bagaimana seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan ( Exco Kanan) kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi Bersatu Perak, boleh menzahirkan cadangan sebegitu.

“Tidak ada sedikitkah rasa untuk menjaga hubungan dengan kami yang menghulurkan tangan untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan,” ujar Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tambun itu.

Namun kata Mohd Hafez lagi, apabila mengenangkan hubungan yang terbina ini (Bersatu-UMNO) masih diperingkat awal pada waktu itu, dilupakan sahaja perkara itu sebegitu sahaja tanpa mengesyaki apa-apa sambil mengharapkan hubungan ini akan semakin pulih dan bertambah erat.

“Saya sendiri tidak ambil pusing ketika insiden diboo oleh Pemuda UMNO semasa menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN di PRK DUN Slim yang lalu. Apalah sangat insiden kecil itu berbanding memelihara hubungan ketiga-tiga parti Melayu ini demi kesejahteraan agama, rakyat dan tanah air.

“Sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar hubungan antara ketiga-tiga parti yang tidak jauh beza matlamat perjuangannya ini akan semakin kukuh dan erat.

“Namun malangnya, sudah terlewat untuk menyedari bahawa begitu berlawanan tujuan dan nilai persahabatan ini pada mereka. Rupa-rupanya begitu kecil nilai kita pada pandangan mereka sehinggakan Timbalan Presiden kita diperlaku sebegitu rupa..Allahuakhbar!

“Tiba-tiba pula, setelah tinggal selangkah sahaja lagi hendak mencapai kehendak menduduki tampuk kuasa, barulah terbit kata-kata betapa pentingnya menjaga hubungan sesama kita. PAS dan Bersatu perlu bersama bagi membentuk kerajaan katanya,” catat beliau.

Berkongsi perkembangan semasa situasi politik Perak, Mohd Hafez berkata, begitu ramai rakan taulan yang datang berjumpa dan berhubung bagi menzahirkan sokongan dan kata-kata semangat.

Namun katanya, pada masa yang sama, tidak kurang juga ada beberapa rakan lama yang mengusik, ‘padan muka’ , ‘ambil kotak kemas pejabat ’ ‘pengkhianat kena khianat’ dan bermacam-macam lagi.

“Terima kasih juga saya ucapkan atas keprihatinan rakan-rakan tersebut. Mungkin rakan-rakan yang mengusik ini beranggapan, bahawa inilah balasan yang patut kami terima kerana meninggalkan PH suatu ketika dulu. Kononnya, kami ini tinggalkan PH kerana tamakkan kuasa dan risaukan hilang kedudukan dan tempat.

“Jika sahabat-sahabat masih ingat lagi, sejurus meninggalkan Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal telah meletakkan jawatannya selaku Menteri Besar Perak ke 12.

“Ketika itu tiada siapa pun tahu siapakah bakal dilantik Menteri Besar Perak. Keadaannya sama seperti sekarang ini, kecoh sana sini siapakah bakal dilantik sebagai Menteri Besar.

“Masih teringat lagi, sewaktu kekecohan pada waktu itu, saya sendiri telah dinasihat oleh beliau, “Tak perlu fikirkan sangat pasal siapa bakal dilantik, kalau kita terlalu fikir atau beria-ia sangat pasal jawatan, ada la yang tidak betul dengan diri kita”.

“Dengan izin Allah, setelah diperkenan oleh Sultan Perak, beliau sekali lagi telah diangkat menjadi Menteri Besar Perak ke 13 bagi memimpin kerajaan PN Perak,” katanya.

Tegasnya, oleh itu, tuduhan rakan-rakan seperjuangan lama bahawa beliau meninggalkan PH atau Tun Dr Mahathir kerana tamakkan kuasa mahu kekal sebagai Menteri Besar atau pun apa-apa kedudukan adalah tidak benar sama sekali.

Malah katanya, beliau telah mengorbankan kedudukannya pada waktu itu bagi usaha pembentukan kerajaan PN di negeri Perak.

“Walaupun ‘begitu tinggi harga yang perlu dibayar’ untuk usaha ini, namun keputusan meninggalkan PH Perak dan membentuk kerajaan PN di negeri ini adalah suatu keputusan yang tepat dan perlu dilakukan berdasarkan pengalaman yang telah kami (Bersatu) lalui sepanjang bersama pihak tersebut.

“Pelbagai pengalaman bersama PH itu tidak perlulah diceritakan di sini kerana rakyat terbanyak sendiri tahu kisahnya dan bijaksana menilainya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat