KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneroka peluang kerjasama strategik antara sektor tenaga dan sektor pertanian negara.
Fokus utama kerjasama adalah usaha meningkatkan keberdayaan industri pertanian di Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dalam pertemuannya bersama Ketua Pegawai Regulatory dan Stakeholder Management TNB Datuk Ts. Shamsul Ahmad dan delegasi TNB semalam, mereka sepakat bahawa penggunaan teknologi tenaga pintar mampu menjimatkan kos operasi pengusaha pertanian.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Shamsul Ahmad dan delegasi dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur semalam.
“Perjumpaan ini membincangkan peluang kerjasama strategik antara sektor tenaga dan sektor pertanian negara, dengan tumpuan khusus kepada usaha meningkatkan keberdayaan industri pertanian di Malaysia.
“Pelbagai inisiatif berasaskan tenaga yang dapat menyokong usaha kementerian dalam membangunkan sektor pertanian yang lebih mampan dan efisien dibincangkan, termasuklah projek-projek tenaga boleh diperbaharui seperti penggunaan tenaga solar di kawasan ladang dan fasiliti pertanian, serta penggunaan teknologi tenaga pintar yang mampu menjimatkan kos operasi para pengusaha pertanian,” catat Mohamad di Facebook pada Khamis.
Ujar beliau, kementeriannya komited mahu memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan sektor pertanian negara kekal kompetitif.
“Saya amat mengalu-alukan TNB sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam mencapai matlamat tersebut, terutamanya dalam konteks memperkasakan peralihan tenaga yang lebih hijau dan mesra alam di sektor pertanian.
“Kementerian yakin bahawa kerjasama ini akan memberi impak positif terhadap pembangunan sektor pertanian di Malaysia, sekali gus memastikan kesejahteraan pemain industri pertanian serta bekalan makanan negara terus terjamin,” kata Mohamad lagi.