Oleh Zihan Zari
BANGI – menyarankan pemupukan dan inovasi perlu dilakukan demi kelangsungan sesebuah bahasa seperti memperbanyakkan bahasa dialek dan bahasa kolokial dimasukkan ke dalam kamus agar menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial : Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti di Hotel Tenera dekat sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Arkib Negara (ANM), Dato’ Jaafar Sidek, Hj. Abdul Rahman; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara (PNM), Salasiah Abdul Wahab, dan Pengerusi Lembaga Penasihat ANM, Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Mohd Dom.
Aaron berkata, pengajian atau pelajaran mengenai bahasa kolokial dan dialek/loghat tempatan dicadang agar dijadikan sebagai silibus bagi pengajian kebahasaan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata, penggunaan teknologi terkini dan multi disiplin seperti pendekatan Geographical Information System (GIS) perlu digunakan oleh pengkaji bahasa bagi melaksanakan perluasan kajian ke atas bahasa kolokial dan dialek di semua negeri melibatkan semua bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia.
Menurutnya, konvensyen ini mencerminkan kesungguhan ANM mengumpul serta mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia kekal terpelihara dan boleh dirujuk kepada generasi akan datang.
Menurutnya lagi, konsep ‘nasionalisme bahasa’ telah menjadi asas penting dalam pembentukan konsep kenegaraan melalui Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan termasuk Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang dibangunkan oleh kementerian.
“DPN bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur. Tunjang kepada dasar ini adalah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Kebijaksanaan Perdana Menteri Pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, telah meletakkan asas yang kukuh dalam mencorakkan pengisian kemerdekaan, menjadikan bahasa sebagai asas pembinaan negara,”katanya.
“Malaysia sering kali dirujuk sebagai sebuah negara yang mampu menguruskan kepelbagaian etnik dan kerencaman budaya, ianya berdasarkan data Indeks Keamanan Global 2024 (GPI 2024).
“GPI ialah pengukur utama keamanan global serta membentangkan analisis yang dipacu oleh data paling komprehensif setakat ini dalam trend keamanan, nilai ekonominya dan cara membangunkan masyarakat yang harmoni,”katanya.
“Penghasilan kosa kata yang baharu dan seiring dengan perkembangan semasa pasti akan mengukuhkan lagi sesebuah bahasa itu.
“Dalam usaha membangunkan bahasa standard, saya mencadangkan bahasa dialek dan bahasa kolokial perlu diperbanyakkan dimasukkan dalam kamus, lebih-lebih bahasa atau dialek tempatan yang jarang digunakan.
“Ini boleh memperkayakan kosa kata dan seterusnya boleh menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan.
“Kajian ke atas bahasa kolokial dan dialek harus diperluaskan dan dilakukan di semua negeri serta melibatkan semua bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia,”ujarnya.
“Program pendidikan yang melibatkan penceritaan, puisi, dan seni persembahan dalam bahasa kolokial boleh meningkatkan penghargaan pelajar terhadap warisan linguistik mereka.
Penerokaan usaha pendigitalan teks lama, rakaman suara, dan dokumen penting dalam bahasa kolokial oleh ANM membolehkan warisan ini disimpan dalam format digital dan mudah diakses oleh generasi akan datang,”ujarnya lagi.
Menerusi kenyataan ANM memaklumkan konvensyen ini mengumpul dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.
Sebanyak 11 siri Bicara Bahasa Kolokial telah dilaksanakan sejak 2023 bagi mengangkat peranan bahasa sebagai agen perpaduan.
Menurut kenyataan itu, konvensyen ini menampilkan pemimpin, pengkaji bahasa, penggiat seni sastera dan budaya, ahli akademik yang membincangkan strategi serta pendekatan bagi mendokumentasikan dan melestarikan penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan masyarakat.
Antaranya ,Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan, Prof Emeritus Dato’ Dr. Hjh. Asmah Hj. Omar; Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong; Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Dato’ Ronald Gan; Pensyarah Universiti Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia & Perbandingan UKM, dan Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof. Dr. Juli Edo.
Selain itu, Tokoh Ilmuan Bahasa dan Tokoh Pejuang, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim; Penulis Prolifik, Datuk Dr. Lim Swee Tin; Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Dato’ Dr. Aripin Said, dan Felo Penyelidik Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Dr. Mohd Faizal Musa @ Faisal Tehran.
“Sesi bicara ini dipengerusikan oleh
Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu
Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Rozaimah Rashidi.
“Turut terlibat, agensi swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, pegawai kerajaan, penuntut IPT, komuniti pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak, ”tambah kenyataan itu lagi.-SUARA.TV