Muzium ajaran sesat: Umno Kedah cadang MP Langkawi buat saringan mental, psikologi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah supaya diwujudkan sebuah muzium ajaran sesat di pulau pelancongan berkenaan sebagai satu idea yang sangat menyimpang daripada logik dan keperluan industri pelancongan.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan berkata, apa perlunya muzium seperti itu, tambahan pula di Langkawi.

“Apa yang hendak dibanggakan dengan ajaran sesat sehingga perlukan sebuah muzium, pelancong mana yang berminat mengambil tahu tentang ajaran sesat? Mungkin satu-satunya yang diperlukan adalah muzium ‘katak politik’.

“Sebagai seorang wakil rakyat yang menerima mandat sangat kukuh sehingga menghilangkan wang deposit seorang bekas Perdana Menteri yang sangat berkuasa, tidak sepatutnya cadangan sedemikian rupa dikeluarkan.

“Beliau sepatutnya mengutarakan keperluan rakyat dan tampil dengan idea untuk kembali memulihkan reputasi Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang dahulunya sangat tersohor.

“Ahli Parlimen Langkawi dari Perikatan Nasional (PN) itu perlu lebih bijaksana dan sensitif membawa isu-isu ataupun teguran membina ke dalam dewan rakyat,” katanya lapor Umno Online.

Katanya lagi ini adalah kali kedua wakil rakyat berkenaan bercakap tidak bijaksana dalam Parlimen, di mana pada November tahun lepas beliau telah mengeluarkan kenyataan seksis terhadap seorang ahli parlimen wanita mewakili DAP, sehingga terpaksa memohon maaf atas kenyatan berkenaan.

“Umno Kedah mencadangkan PN membentuk satu tapisan yang lebih berkesan dalam proses memilih calon wakil rakyat.

“Seharusnya perlu dibuat saringan ‘mental’ dan ‘psikologi’ daripada mengelakkan kualiti ahli parlimen Langkawi kembali berulang,” seru beliau.

Pada 5 Nov lalu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mencadangkan kerajaan untuk mengambil alih hotel milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Langkawi, Kedah dan menukarnya menjadi muzium ajaran sesat.

Katanya, inisiatif ini untuk membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada pelbagai ajaran sesat di dunia.

“Saya cadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk melihat kepada hotel ini (milik GISBH yang ditinggalkan).

“Sebab saya ada masuk dalam banyak search (carian) untuk cari muzium ajaran sesat (tapi) tidak ada, yang keluar (hanya) muzim Drakula di Romania, di England dan lain-lain.

“Jadi, apa yang berlaku baru-baru ini (isu ajaran sesat) kita tidak ada rujukan. Sedangkan dalam dunia ini banyak kes ajaran sesat tanpa mengira agama apa pun,” katanya ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, CEO GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Datin Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat