Kadar Kematian Akibat Covid-19 Semakin Turun – KP Kesihatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kadar kematian akibat Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 27.2 peratus dalam Minggu Epidemiologi (ME) ke-44, iaitu antara 31 Oktober hingga 6 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penurunan agak signifikan iaitu daripada 522 kes pada ME ke-43 kepada 380 kes ME ke-44.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan.

“Berdasarkan perincian indikator jangkitan Covid-19 pada ME ke-44, kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44).

“Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, kadar kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding ME ke-43.

Menurutnya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal sebanyak 214 kes (ME ke-44).

“Pada 6 November, nilai Rt Malaysia sudah menunjukkan penurunan harian dari 0.96 (95 peratus CI 0.95- 0.97) ke 0.91 (95 peratus CI 0.90 – 0.92) sejak 1 November.

“Untuk makluman, nilai Rt melebihi 1 menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan Covid-19 seperti yang dilihat pada permulaan gelombang ketiga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 6 November lalu, secara kumulatif terdapat 5,719 kluster dilaporkan dan hanya 335 kluster masih lagi aktif iaitu penurunan sebanyak 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

Menurutnya, sebanyak 137 kluster sudah diisytiharkan tamat pada ME ke-44, lalu menjadikan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding ME ke-43 manakala sebanyak 34 kluster dilaporkan pada ME ke-44.

Menurutnya, daripada 34 kluster yang dilaporkan pada ME ke-44, 18 adalah kluster tempat kerja (52.9 peratus), tujuh kluster pusat pendidikan (20.5 peratus), enam kluster komuniti (17.6 peratus) dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi; aktiviti keagamaan; serta pusat tahanan (tiga peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam, sejumlah 25,525,035 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

“Setakat 11.59 malam 7 November, sebanyak 75.2 peratus daripada keseluruhan penduduk sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap (94.8 peratus daripada populasi dewasa dan 74.9 peratus daripada populasi remaja).

“Selain itu, pemberian dos penggalak juga giat dijalankan dengan kumulatif 506,236 dos setakat 7 November di 672 pusat pemberian vaksin yang masih beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya kadar pengunaan fasiliti kesihatan merangkumi katil wad biasa, katil Unit Rawatan Rapi (ICU), dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin.

Sehubungan itu, katanya, bilangan katil yang diperuntukkan untuk merawat kes Covid-19 sudah mula diturunkan secara berfasa di kebanyakan negeri bagi memberi perhatian kepada rawatan kes selain Covid-19.

“Kapasiti hospital dan ICU di hospital awam di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian menurun dari minggu ke minggu yang mana kedua-dua kategori pesakit iaitu kategori pesakit 1 dan 2 serta 3, 4 dan 5 didapati semakin menurun.

“Namun, mulai ME ke-42 hingga ME ke-44, terdapat empat negeri menunjukkan peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 iaitu Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu, dan Selangor dengan peningkatan sekitar tiga peratus hingga 17 peratus.

“Kementerian akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi sebarang kebarangkalian peningkatan kes Covid-19 di masa hadapan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua untuk terus mengamalkan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun sudah menerima suntikan vaksin lengkap.

Sementara itu, katanya, memandangkan sesi persekolahan sudah dibuka semula, keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran yang selamat perlu diberi lebih perhatian untuk mencegah penularan wabak Covid-19 di sekolah.

Ini kerana, katanya, ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian dan juga kepada keluarga mereka, seterusnya merebak pula ke komuniti.

“Semua pihak yang terbabit seperti pihak sekolah, ibu bapa, pemandu bas sekolah, murid dan semua yang terbabit dengan aktiviti pembukaan semula persekolahan diminta sentiasa patuh pada SOP sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

“Ini supaya kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah dan dielakkan. Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat supaya mereka kekal terhindar daripada bahaya Covid-19.

“Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin Covid-19, segera divaksin lengkap,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat