JAKARTA – Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Erick Thohir, melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya ke Kuala Lumpur.
Erick, 53, yang juga Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia, membincangkan perkara penting dalam industri bola sepak serantau.
“Kami terbabit dalam perbincangan meluas mengenai potensi kerjasama bola sepak di rantau Asia Tenggara bagi meningkatkan industri serta pasukan kebangsaan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau kemudian bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan perbualan berlangsung selama kira-kira dua jam di kediaman rasmi Perdana Menteri.
“Saya mendapat pandangan berharga daripada beliau sebagai seorang tokoh terkemuka yang mempunyai pengaruh dalam landskap demokrasi di rantau Asia Tenggara. Terima kasih Encik Anwar. Saya menantikan perbincangan kami yang seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Erick yang dianggap sebagai antara calon berpotensi terkemuka untuk jawatan Naib Presiden Indonesia pada pilihan raya 2024, memulakan lawatan kerjanya di Singapura pada Jumaat lalu.
Beliau bertemu Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, serta Menteri Tenaga Manusia yang juga memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri Kedua, Tan See Leng.
“Kami berhasrat memastikan kerjasama serantau di Asia Tenggara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan untuk Indonesia,” katanya. – Bernama