KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa mengamalkan politik dua darjat apabila mempertikaikan tindakan anak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, bersuara mempertahankan bapanya dalam kemelut politik negeri itu.
Blogger Zaharin Mohd Yasin berkata, Zahid sepatutnya memberikan ruang kepada Naim Ismail menyuarakan pandangan, sebagaimana anak pemimpin lain turut bebas memberikan pandangan mengenai politik dan kepimpinan.
Menurutnya, tindakan Zahid mempersoalkan penglibatan Naim menimbulkan persoalan mengenai percanggahan prinsip kebebasan bersuara, khususnya apabila anak beliau sendiri turut aktif memberikan pandangan politik.
“Apabila anak orang lain memberikan pandangan politik, mengapa Zahid begitu cepat mempertikaikannya?
“Apakah kebebasan bersuara hanya boleh dinikmati oleh keluarga pemimpin tertentu?” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zaharin berkata, jika penglibatan ahli keluarga dalam politik dianggap tidak wajar, prinsip itu perlu terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
Beliau turut mempersoalkan reaksi Zahid yang dilihat emosional terhadap kenyataan Naim, sedangkan isu berkenaan sepatutnya dijawab secara matang dan terbuka.
Menurutnya, kemelut membabitkan Ismail bukan sekadar persoalan dalaman Umno kerana turut menyentuh kedudukan Menteri Besar, proses peletakan jawatan serta kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Katanya, apabila pihak Istana sendiri membangkitkan persoalan mengenai kesahihan surat peletakan jawatan, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
“Politik bukan medan untuk menuntut orang lain berdiam diri. Seorang Presiden Umno sepatutnya bersedia menghadapi kritikan, termasuk daripada ahli keluarga pemimpin partinya sendiri,” katanya.
Zaharin mengingatkan Zahid supaya menilai semula pendekatannya dalam menangani kemelut berkenaan agar Umno tidak dilihat mengamalkan politik dua darjat.
“Kalau anak sendiri boleh bersuara, jangan marah apabila anak orang lain turut membuka mulut,” katanya.



