*Saman Zuraida RM10juta, Anwar & PKR Perlu Bertaubat*

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff,

Beberapa hari lepas, berita mengenai Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim telah bertindak menyaman Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamaruddin kerana lompat parti.

Apa yang boleh penulis katakan adalah, jika Anwar Ibrahim meneruskan agenda politik dendam seperti ini, sudah tentu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan.

Jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri sekalipun, sudah tentu kepimpinannya akan diragui kerana sering beremosi dalam membuat setiap keputusannya. Ini merupakan petanda yang tidak baik bukan sahaja bagi PKR, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita semua tahu bahawa kejatuhan Kerajaan PH bukanlah kerana sikap ego dan kelemahan Tun Mahathir semata-mata. Banyak lagi faktor yang menyebabkan kerajaan 2 tahun itu tumbang. Antaranya adalah kegagalan Anwar Ibrahim dalam menguruskan kemelut di dalam partinya sendiri.

Sebagai pemilik kerusi parlimen paling banyak di dalam PH selepas PRU14 yang lepas (dengan jumlah 48 kerusi parlimen), Anwar Ibrahim dilihat terlalu cenderung untuk pilih kasih dalam setiap tindakan beliau. Perkara ini bukanlah satu rahsia, walaupun tidak pernah diakui oleh beliau secara terang-terangan.

Ini menyebabkan para pemimpin dan ahli PKR sentiasa berantakkan dan keadaan menjadi terlalu parah apabila di dalam pemilihan parti yang lepas, pasukan Rafizi Ramli (yang dikhabarkan disokong oleh Anwar), kalah dalam merebut jawatan Timbalan Presiden.

Sepatutnya, Anwar Ibrahim mewujudkan jambatan antara kedua-dua kem di dalam parti beliau. Namun, kita tidak tahu mengapa, beliau membiarkan sahaja parti beliau berkecamuk, sehingga menyebabkan Rafizi Ramli merajuk dan Azmin Ali semakin menjauhkan diri.

Kini, YB Zuraida Kamaruddin pula yang dijadikan sasaran. Bagi mereka yang pernah terlibat dalam PKR, sudah tentu mereka akan faham bahawa kekuatan sebenar parti tersebut adalah sayap wanitanya. Zuraida Kamaruddin merupakan pemimpin yang telah menghidupkan sayap wanita parti reformasi tersebut, yang sebelum ini dilihat sangat lemah dan bertindak hanya sebagai aksesori tambahan sahaja.

Pada ketika itu (dan juga kini) Zuraida memegang pengaruh yang amat besar dalam senario politik akar umbi PKR. Ini adalah kerana sikap beliau yang lebih mudah didekati dan sering memikirkan kebajikan dan nasib akar umbi. Oleh yang demikian Zuraida dilihat sebagai ancaman terbesar oleh kelompok tertentu di dalam PKR.

Ya benar, Zuraida Kamaruddin menang kerusi Parlimen Ampang atas tiket PKR, tetapi tiket tersebut bukanlah satu-satunya sebab beliau dipilih menjadi wakil rakyat.

Sebelum ini kerusi parlimen Ampang (atau nama lamanya Ampang Jaya) merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Letaklah siapa pun tokoh dari Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat, Barisan Nasional tetap kekal di situ. Ini berlarutan sehinggalah Zuraida Kamaruddin diangkat menjadi calon dan merobohkan kubu kuat Barisan Nasional tersebut.

Dari PRU-12 (tahun 2008) hingga sekarang Zuraida Kamaruddin dipilih oleh rakyat kerana khidmat beliau yang benar-benar berkesan untuk warga Ampang. Adalah dangkal untuk kita memikirkan bahawa Zuraida menang kerana membawa panji PKR semata-mata.

Kecaman yang dibuat oleh PKR terhadap Zuraida dan pemimpin-pemimpin lain yang telah meninggalkan parti tersebut merupakan satu tindakan yang bersifat hipokrit dan tidak beretika. Ini kerana pada masa yang sama Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan kononnya terdapat sebilangan ahli-ahli parlimen tertentu yang menyokong beliau untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Jadi, apa bezanya para pemimpin Keadilan yang keluar parti dengan “ahli-ahli parlimen” yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri? Belum lagi memegang tampuk kekuasaan, Anwar Ibrahim dan para pemimpin PKR sudah mula menunjukkan yang mereka ini sememangnya selektif dalam melaksanakan agenda keadilan.

Tindakan saman yang dilakukan oleh PKR ini bukan sahaja membuang masa, tetapi mengkhianati semangat demokrasi di Malaysia. Seorang wakil rakyat seharusnya berhak untuk memilih mana-mana parti yang dirasakan bersesuaian untuk memudahkan mereka berkhidmat.

Kerusi Parlimen yang dipegang oleh seseorang wakil rakyat bukanlah hak mutlak mana-mana parti politik. Ia adalah hak rakyat, dan sebagai wakil sudah tentu wakil rakyat tersebut tahu dan faham apa kehendak yang dimahukan oleh orang-orang yang mereka wakili.

Jika bertukar atau keluar parti untuk menyokong agenda PKR dialu-alukan, mengapa apabila ada ahli PKR yang melompat keluar dikecam dengan sebegitu rupa?

Memetik kata-kata Mendiang Karpal Singh “Anwar Ibrahim harus bertaubat”, saya berharap Presiden PKR tersebut segera sedar bahawa taktik intimidasi berorientasikan dendam ini sudah tidak efektif dalam usaha beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika beliau boleh memaafkan dan duduk semeja dengan Tun Mahathir yang dikatakan dahulu telah menganiaya dan menindas beliau sekeluarga, apakah kiranya beliau boleh memaafkan para pemimpin yang pernah berjuang bermati-matian untuk membebaskan dirinya?

Buktikan bahawa sosok Anwar Ibrahim itu adalah seorang yang berjiwa besar seperti mana dicanang-canang oleh pengikut beliau selama ini.

Namun perkara ini tidak akan terjadi kerana Anwar Ibrahim yang kita lihat kini bukanlah Anwar Ibrahim yang telah memimpin gerakan reformasi pada 1998. Wajahnya mungkin sama, petah katanya juga sama, tetapi serinya telah hilang dan ketokohannya juga amat diragui.

Mungkinkah beliau sudah terlalu kemaruk dan tidak boleh lagi berfikir secara rasional? Jika ini benar, maka Anwar Ibrahim sudah tidak layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri dan akan terus dikenang sebagai seorang manusia yang kemaruk kuasa yang telah tewas kerana terlalu mengikut emosinya sendiri.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat