Sultan Selangor tidak perkenan cadangan Menteri Agama benarkan solat Jumaat di surau pusat beli-belah

SHAH ALAM – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor tidak memperkenankan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, untuk membenarkan surau di pusat beli-belah mendirikan solat Jumaat di negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi kenyataan media hari ini yang menjelaskan bahawa urusan berkaitan masjid dan surau berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut MAIS, DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri mempunyai kuasa prerogatif untuk menetapkan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

“MAIS telah dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat,” menurut kenyataan itu.

MAIS menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi memastikan fungsi masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam terus diperkukuhkan dan tidak terjejas sekiranya umat Islam mempunyai pilihan menunaikan solat Jumaat di pusat beli-belah.

Selain itu, MAIS memaklumkan ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat di Selangor, yang disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan jemaah di seluruh negeri.

Menurut kenyataan itu, faktor lain yang diambil kira termasuk kesesuaian masjid sebagai tempat utama pelaksanaan solat Jumaat, keperluan pelantikan imam, bilal dan petugas oleh MAIS, serta aspek pemantauan pengurusan dan keseragaman penyampaian khutbah Jumaat.

Bagaimanapun, MAIS menjelaskan terdapat sebuah surau di pusat beli-belah yang kini diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat secara sementara kerana tiada masjid berhampiran. Kebenaran itu akan ditarik balik apabila sebuah masjid berhampiran siap dibina dan mampu menampung keperluan jemaah.

Sehubungan itu, MAIS menyeru umat Islam di Selangor terus memakmurkan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, dakwah serta perpaduan ummah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat