Emosi dan keadaan kesihatan mental semua murid perlu lebih diberi perhatian, elak kejadian sama berulang

KUALA LUMPUR – Pihak Kementerian Pendidikan digesa memberikan perhatian lebih serius ke atas keadaan mental pelajar bukan sahaja keadaan emosi mereka ketika datang ke sekolah, demikian Pengerusi NGO Antarabangsa dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican.

Pada hari Isnin, 6 Julai lepas ada kejadian tikam membabitkan 2 orang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting akibat tindakan agresif suspek yang berusia 15 tahun dan juga dikatakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) autisme.

Difahamkan ada nota yang tular di media sosial yang ditulis suspek berasa kecewa kerana tertekan dengan masalah mentalnya dan mendakwa beberapa murid mempermainkan sejarah pemulihan dirinya.

Bagaimanapun, kesahihan nota berkenaan sehingga kini masih di bawah siasatan pihak polis.

Menurut Datuk Dr Mustapha jika suspek seorang mangsa buli dan seorang OKU, dia berpotensi tinggi untuk menyimpan dendam yang bersifat jangka panjang yang amat berbahaya jika dia merasakan ia perlu dibalas.

“Kejadian ini mesti dilihat dengan pendekatan yang bijaksana khususnya kenapa kes seperti ini masih lagi terjadi.

“Sudah sampai masanya mungkin pihak sekolah boleh membuat pemeriksaan berkala di dalam beg murid-murid jika mereka ada membawa senjata tajam atau lain-lain alat yang boleh membahayakan nyawa orang lain,” katanya kepada Suara TV hari ini.

Beliau yang ada bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberikan reaksi beliau terhadap kes berkenaan yang dianggap mengejutkan.

Selain itu, beliau berkata satu badan lain perlu diwujudkan dalam sekolah untuk membantu guru-guru memantau serta mengatasi masalah melibatkan emosi dan mental ini kerana guru sudah pun dibebankan dengan tugas mendidik murid-murid dalam waktu persekolahan.

“Badan yang akan mengawasi isu ini akan melihat dengan teliti keadaan dan status mental murid-murid untuk mengelakkan kejadian sama berulang lagi,” katanya.

Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menangani isu keselamatan para pelajar di sekolah serta membuat kajian yang mendalam berkenaan kes penganiayaan murid lain ketika di sekolah.

Suspek iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok dan Majistret membenarkan suspen ditahan reman selama 4 hari bermula semalam sehingga 10 Julai nanti.

Polis mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan secara rasmi mengesahkan bahawa anak guamnya merupakan seorang OKU autisme dan sedang dalam tempoh cuti untuk rawatan.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat