KUALA LUMPUR – Pengarang, pendidik dan penterjemah, Adibah Amin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 malam tadi.
Pemilik nama sebenar Khalidah Adibah Amin berusia 88 tahun itu merupakan wartawan wanita pertama diberikan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan.
Anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada adik perempuan beliau Fadzilah Amin, yang mewakili kakaknya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.
Adibah mula menjadi wartawan New Straits Times pada 1971 dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian (BH) (1983-1984), selain menjadi kolumnis BH dan The Star serta sebagai penasihat editor majalah Jelita.
Sebelum menjadi wartawan beliau menjadi Pengetua di Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.
Beliau yang terkenal dengan penguasaan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu turut menulis tiga novel bahasa Melayu menerusi nama pena Seri Delima, selain menghasilkan lebih 200 drama radio.
Sebelum ini, beliau telah menerima beberapa pengiktirafan besar lain antaranya Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA WriteAward) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.
Pada November 2006, Adibah menghasilkan novel pertama dalam bahasa Inggeris, This End of The Rainbow selain menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan).
Beliau juga telah menghasilkan lebih 50 buku karya asal, penyuntingan dan terjemahan antaranya Glimpses: cameos of Malaysian life MPH Group Publishing 2008, As I was passing II MPH Group Publishing 2007 dan As I was passing MPH Group Publishing 2006.
Menurut biografinya, Adibah merupakan anak kepada pejuang kemerdekaan Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain, yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan, malah menjadi ahli bahasa, pendidik, serta penyampai berita yang cemerlang.
Beliau mula menulis pada usia 13 tahun dengan karya sulungnya, Pelatih Kecil disiarkan di majalah Hiboran pada 8 Januari 1949. Dikatakan beliau mula menulis bukan kerana minat, tetapi kerana ingin membantu ibu menyara keluarga sesudah kematian ayahnya.
Cikgu Bedah
Walaupun nama Adibah Amin begitu besar dalam bidang kewartawan dan penulisan namun beliau akan diingati dengan lakonan hebat dalam filem Adik Manja pada tahun 1980.
Filem karya Othman Hafsham tersebut menduduki carta teratas ‘box office’ filem Melayu selama 14 tahun dan memenangi Filem Komedi Terbaik di Festivel Filem Asia Pasifik ke-26 dan Filem Terbaik Festival Filem Malaysia pertama (FFM1).
Dalam filem tersebut Adibah melakonkan watak Cikgu Bedah yang menjadi satu fenomena ketika itu dengan karektor luar biasa sebagai guru. Beliau memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik FFM1. Selain Adik Manja, beliau turut berlakon dalam filem Hati Bukan Kristal (1989) dan Mat Som (1990). – SuaraTV