Platform wayang banteras cetak rompak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Platform wayang dalam talian, ewayang.com yang dibangunkan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mula menarik perhatian penonton dan penerbit filem sebagai alternatif pawagam yang ditutup berikutan penularan COVID-19.

Diwujudkan bagi menyokong industri perfileman tempatan, lapan filem sudah ditayangkan di platform wayang ini yang menawarkan pakej menarik bukan sahaja kepada penerbit, malah penonton.

Minggu lalu, ewayang.com menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang menyokong aspirasi platform dalam talian itu.

Pengarah Urusan ewayang.com, Azmi Ismail, berkata pihaknya bersyukur platform wayang itu disokong PFM.

“Usaha ini dianggap tunjang bagi membantu penerbit terus berkarya dalam keadaan semasa di mana pawagam tidak lagi beroperasi.

“Selain itu, kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama iaitu memperjuangkan industri perfileman Malaysia, terutama membantu penerbit membanteras cetak rompak digital,” katanya kepada BH Online pada majlis menandatangani MOU antara ewayang.com dan PFM di ibu negara, baru-baru ini.

 

Dari kiri Zahrin, Pansha, Ismahanum dan Azmi pada majlis menandatangani MOU antara PFM dan ewayang.com. Foto Ihsan ewayang.com
Dari kiri Zahrin, Pansha, Ismahanum dan Azmi pada majlis menandatangani MOU antara PFM dan ewayang.com. Foto Ihsan ewayang.com

 

Perjanjian itu ditandatangani Presiden PFM, Pansha dan Setiausaha Kehormat Zahrin Aris, manakala ewayang.com diwakili pengasas dan Ketua Pegawai Operasi, Ismahanum Ismail dan Azmi.

Azmi berkata, pihaknya memberi perhatian serius dalam menangani isu cetak rompak digital bagi setiap filem yang ditayangkan melalui platform itu.

“Daripada pautan yang disertakan, kami boleh mengesan mereka yang melakukan cetak rompak,” katanya.

Azmi berkata, ewayang.com diasaskan bukan kerana mahu menyaingi Astro First.

“Kami mahu memberi pilihan kepada penonton. Dalam hal ini, kami bangga dan bersyukur PFM memberi sokongan serta kerjasama,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya menawarkan perkongsian keuntungan sama rata atau 50 : 50 bagi setiap judul ditayangkan.

“Selain itu, kami melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menderma RM1 bagi setiap pembelian tiket untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Sebagai contoh, untuk tabung COVID-19 atau disalurkan kepada anak yatim dan insan memerlukan.

“Bagi tayangan filem Kanang Anak Langkau… The Iban Warrior, sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada Tabung Wira Negara,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya turut menawarkan pautan atau ‘link referral’ kepada pembeli tiket.

“Pautan itu boleh dikongsi kepada orang lain dalam tempoh 48 jam dan ditonton berulang kali.

“Setiap klik pautan itu akan membawa kepada peningkatan trafik di laman sesawang ewayang.com.

“Lebih ramai penonton membeli daripada pautan itu, penerbit dapat menjana pendapatan pasif.

“Artis juga boleh melakukan perkara sama kepada pengikut di media sosial ketika mempromosikan filem lakonan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pansha berkata, platform wayang dalam talian perlu dimanfaatkan penerbit filem untuk memasarkan karya dalam talian.

“Saya dimaklumkan ada 30 judul filem tempatan yang menunggu masa ditayangkan di pawagam.

“Namun, diakui, penerbit filem masih was-was dan enggan mengambil risiko. Jadi, ini masanya untuk mempromosi filem yang ditonton secara norma baharu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat