Bingkisan indah buat tiga insan kreatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyempurnakan hasrat tertangguh, Siti Sarah dan Hazama berkolaborasi menghasilkan lagu Terakhir Buat Teman, iaitu melodi ciptaan pengarah muzik, Allahyarham Lok U.

Siti Sarah berkata, projek rakaman single itu adalah bagi mengenang Allahyarham Lok U atau nama sebenarnya, Faizal Uzir yang pergi meninggalkan semua, Januari lalu.

“Arwah sempat memetik piano petikan lagu itu bersama saya. Gubahan ini pada asalnya dicipta Lok U bersama rakannya, Aji bagi mengenang pemain bass, Allahyarham Kelly yang meninggal dunia.

“Tidak sempat lagu itu disiapkan, Aji pula menyusul mengikut Kelly bertemu Ilahi.

“Selepas pemergian Aji, arwah cuba sedaya upaya menyiapkan lagu ini, namun, akhirnya, beliau juga meninggal dunia pada 22 Januari lalu,” katanya.

Siti Sarah berkata, Syarikat Indigital Music menjemput dia menyiapkan lagu terbabit bersama Hazama dan tenaga kreatif lain.

“Tidak mungkin kami tolak kerana lagu ini bagaikan suatu tanda buat rakan-rakan yang sudah tiada,” katanya.

 

Sarah dan Hazama masing-masing sedih dengan pemergian arwah Lok U, Kelly dan Aji yang cukup dikenali sebagai tenaga kreatif dalam dunia muzik. Foto Ihsan Indigital Music
Sarah dan Hazama masing-masing sedih dengan pemergian arwah Lok U, Kelly dan Aji yang cukup dikenali sebagai tenaga kreatif dalam dunia muzik. Foto Ihsan Indigital Music

 

Siti Sarah tidak menafikan dirinya menjadi antara insan yang sangat terkesan dengan pemergian ketiga-tiga pemuzik handalan itu.

Tambah Siti Sarah, projek lagu terbabit diteruskan dengan kerjasama pemuzik, Genervie Kam dan pemain gitar, Emi yang juga protege kepada Allahyarham Aji.

 

Tidak hanya berdua, beberapa pemuzik yang rapat dengan ketiga-tiga arwah menyumbangkan idea bagi menyiapkan lagu ini. Lirik pula dihasilkan Iman Imran yang mengenali ketiga-tiga arwah.

Bagai menyudahkan sebuah janji, lagu Terakhir Buat Teman dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember lalu.

Hazama menganggap diberi penghormatan apabila mendapat kepercayaan membawakan lagu itu bersama Siti Sarah.

“Pada awalnya, saya tahu mengenai lagu ini melalui video arwah Lok U bermain piano yang dimuat naik di Instagram.

“Kebetulan, ketika itu, kami bersama menjayakan program Mentor Milenia. Saya beritahu arwah, kalau tiada lagi penyanyi, saya mahu merakamkannya.

“Tetapi, ketika itu, saya tidak tahu, arwah menawarkan lagu berkenaan kepada Siti Sarah.

“Jadi, apabila Indigital Music menelefon dan menawarkan saya menyanyikan lagu ‘tribute’ untuk sahabat-sahabat yang sudah pergi itu, saya bersetuju,” katanya.

Hazama berkata, sebaik mendengar bakal bekerjasama dengan Siti Sarah, dia terus teruja.

“Saya kagum dengan vokal Siti Sarah. Ini kali pertama kami bekerjasama dan saya percaya, ini adalah ‘jodoh’ yang ditinggalkan arwah,” katanya.

Projek rakaman single Terakhir Buat Teman mendapat sokongan geran melalui Dana Kandungan Digital (DKD), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Allahyarham Kelly atau nama sebenarnya, Wan Kelly Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir selepas mengadakan sesi latihan pementasan Malam Kasih Amal di Ipoh, Perak pada 4 Mei, tahun lalu.

Allahyarham Aji atau nama sebenarnya, Fauzi Samin yang juga pemain gitar terkenal, meninggal dunia akibat serangan jantung, pada 5 September tahun lalu.

Pada 22 Januari lalu, Allahyarham Lok-U meninggal dunia selepas dilaporkan sesak nafas pulang daripada aktiviti jogging.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat