NEW YORK- Russia telah mula menghantar sistem pertahanan udara dan radar canggih ke Iran susulan ancaman Iran untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran yang disyaki dilakukan Israel, lapor The New York Times yang memetik sumber pada Isnin.
Sebelum ini, media Iran melaporkan Tehran memohon sistem pertahanan udara dan dua pegawai Iran yang bercakap kepada The New York Times mengesahkan permohonan itu yang menyusuli lawatan Setiausaha Majlis Keselamatan Russia, Sergei Shoigu, ke Tehran pada Isnin.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bertemu Shoigu dan mengecam tindakan jenayah dilakukan Israel terhadap rakyat Gaza yang tertindas dan tidak berdaya serta pembunuhan Haniyeh pada Rabu minggu lalu.
“Republik Islam Iran sama sekali tidak berusaha untuk meluaskan skop perang dan krisis di rantau ini,” Pezeshkian dipetik sebagai berkata oleh media negara Iran. “Tetapi rejim ini (Israel) pasti akan menerima balasan atas jenayah dan keangkuhannya.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar “hukuman keras” untuk Israel selepas pembunuhan ketua kumpulan itu dan berkata: “Kami menganggap menjadi tugas kami untuk membalas dendam atas darahnya kerana dia syahid di wilayah Republik Islam Iran. ”
Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga pada Selasa apabila kebimbangan semakin meningkat mengenai konflik semakin meluas di seluruh Asia Barat.