Garis Panduan Khusus Elak Surat Sokongan Kerajaan Disalah Guna, Format Baharu Isytihar Harta – JKMMAR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Garis panduan khusus akan dirangka oleh kerajaan untuk memastikan surat sokongan yang dikeluarkan tidak disalah guna mana-mana pihak untuk tujuan kepentingan peribadi.

Perkara itu antara diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memberitahu, kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran.

Justeru, Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.

Mesyuarat juga bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik.

PMO juga memaklumkan, mesyuarat semalam memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik dan ia untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan.

Justeru, katanya ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip tadbir urus baik.

“Indeks Governans Malaysia akan dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola akan dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan,” katanya.

Mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN 2022 dengan format baharu lebih berstruktur, supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

“Peranan jawatankuasa ini juga akan diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik, supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.

“JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

“Had bilangan Lembaga Pengarah yang boleh dianggotai seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam Lembaga Pengarah,” katanya.

PMO juga berkata, mesyuarat sama turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif antirasuah selaras Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat