Bongkar keunikan tersembunyi

- Advertisement -

Segamat sememangnya sangat sinonim dengan durian. Tatkala musim durian tiba, daerah itu akan menjadi ‘syurga durian’ terutama buat penggemar ‘raja buah’ ini.

Keenakan rasa durian yang pelbagai jenis termasuk musang king, IOI, D24 dan udang merah pasti tidak mengecewakan.

Selain durian, Segamat ini juga cukup terkenal dengan keenakan makanannya sekali gus menjadikan ia lokasi ‘jalan-jalan cari makan’.

Namun, Segamat tidak hanya mempunyai dua tarikan itu sebaliknya daerah berkenaan turut mempunyai ‘permata tersembunyi’ yang mesti diterokai terutama bagi pencinta ekopelancongan dan mereka yang inginkan percutian nun jauh dari kesibukan kota bersama keluarga.

Kesempatan menyertai Program Exploration & Experiential of Segamat anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan membongkar keunikan tersembunyi daerah itu terutama di mukim Labis.

Dengan aktiviti yang memfokuskan kepada segmen keluarga dan milenial serta mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan ‘family fun,’ ekopelancongan serta kembara Segamat nyata tidak mengecewakan.

Bagi penulis yang sememangnya sudah lama tidak keluar dari ‘hutan konkrit’ yang penuh dengan kesibukan, pengalaman meneroka Labis selama empat hari tiga malam cukup bermakna.

Sesuai dengan jolokannya sebagai lokasi ‘jalan-jalan cari makan’, menikmati keenakan menu berasaskan ikan baung masak cili api dan udang galah yang dihidangkan di RZ Restoran Ikan Baung nyata tidak menghampakan.

Sudah diusahakan sejak 30 tahun lalu, restoran masakan Melayu ini tidak akan mengecewakan.Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Pantun dua kerat ini memang ada kebenarannya.

Selesai menjamu selera, keterujaan untuk memulakan penerokaan di Labis semakin bertambah dan lokasi seterusnya yang dituju adalah Labis Sunrise Farm.

Labis Sunrise Farm menjadi antara tarikan utama di mukim Labis dek keindahan resort yang dibina di atas bukit penuh dengan dusun buah-buahan.

Dengan celoteh ‘farm guide’ yang bersahaja menjadikan ‘tour’ di ladang buah-buahan seluas lebih 60 hektar ini lebih berinformatif.

Lebih menarik, tetamu juga diberi peluang menikmati keenakan buah tropika yang dipetik segar di ladang ini seperti jambu air, durian musang king, nangka, cempedak, jambu batu, mangga, pisang dan durian belanda.

Menikmati pemandangan matahari terbit dan berkhemah ala glamping di dusun ini turut menjadi tarikan pelancong.

Daripada percutian agro, hari kedua membawa kami merasai kedamaian desa yang kaya dengan kepelbagaian produk tempatan di Homestay Smilian Felda Tenang.

Dibuka secara rasminya pada Jun 2016, inap desa ini terkenal dengan produk kraf tangan seperti ayaman rotan, pembuatan gasing dan tayar guling.

Justeru, tidak hanya melihat demonstrasi, mempelajari teknik dan cara menghasilkan produk itu satu kemestian.

MEMPELAJARI teknik anyaman rotan antara aktiviti menarik ditawarkan di Homestay Smilian Felda Tenang.
MEMPELAJARI teknik anyaman rotan antara aktiviti menarik ditawarkan di Homestay Smilian Felda Tenang.

Kami juga dibawa melihat bagaimana lemang dimasak secara moden serta mempelajari cara membuat kuih baulu pelbagai perisa.

Penerokaan hari kedua berakhir di Cabin Hills Labis Eco Resort, penginapan berkonsepkan dalam kabin yang dikelilingi dusun durian.

Tidak hanya menawarkan penginapan yang unik, resort ini juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya menaiki ATV, memancing, melihat pemandangan matahari terbit dan terbenam yang cukup mempesona. Unggas alam yang mengalunkan muzik semula jadi menambahkan kedamaian tika malam.

Panorama indah matahari terbit dari balik bukit-bukau yang menghijau memberi suntikan semangat untuk meneruskan penerokaan hari ketiga cukup padat, tetapi penuh kenangan terindah.

PENGINAPAN berkonsep kabin di tengah dusun durian memberikan suasana yang mendamaikan.
PENGINAPAN berkonsep kabin di tengah dusun durian memberikan suasana yang mendamaikan.

Dengan menaiki ATV, kami dibawa melawat ke beberapa kawasan penghasilan produk tempatan di sekitar Kampung Tenang yang turut menjadi tarikan utama di sini.

Persinggahan pertama adalah Makam Tok Tenang iaitu orang pertama yang membuka perkampungan Kampung Tenang sebelum ke persinggahan kedua iaitu di Perusahaan Peliharaan Landak.

Terkenal dengan durinya yang tajam, apabila diberi peluang untuk melihatnya dengan lebih dekat, memberi makan dan memegang haiwan itu, masing-masing bagai keberatan. Takut-takut ia menyerang dengan durinya yang tajam.

Namun apabila mengetahui semua itu mitos, masing-masing teruja untuk bergambar bersama anak landak yang comel.

Persinggahan seterusnya adalah di Perusahaan Madu Kelulut sebelum bergerak ke Simpang Takah Melor untuk memulakan aktiviti mendaki ke Air Terjun Bawah Bumi.

Deruan air sungai persis air terjun jelas kedengaran. Namun, air terjun tidak ada di depan mata, tetapi ia berada di bawah batuan sungai. Itulah keunikan Air Terjun Bawah Bumi.

KEINDAHAN khazanah alam yang menghijau menjadi peneman sepanjang perjalanan ke Air Terjun Bawah Bumi.
KEINDAHAN khazanah alam yang menghijau menjadi peneman sepanjang perjalanan ke Air Terjun Bawah Bumi.

Perasaan ingin tahu yang tinggi membuatkan trekking sejauh satu kilometer yang mengambil masa selama 30 hingga 40 minit menyusuri Sungai Tenang Kudung tidak terasa.

Ditambah pula dengan keunikan dan khazanah hutan seperti tumbuh-tumbuhan dan serangga yang menjadi santapan mata sepanjang perjalanan, masa bagai berlalu bersama angin sepoi-sepoi bahasa.

Usai mencari tempat untuk duduk dan berehat tanpa sepatah kata, deruan air terjun jelas kedengaran, uniknya, ia memang datang dari bawah batu-batu sungai yang menjadi tempat berehat.

PENULIS (depan) dan peserta lain bergambar kenangan di lokasi Air Terjun Bawah Bumi.
PENULIS (depan) dan peserta lain bergambar kenangan di lokasi Air Terjun Bawah Bumi.

Dalam perjalanan pulang ke Cabin Hills Labis Eco Resort, kami singgah sebentar di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis, lokasi yang sangat sesuai merehatkan badan dengan berendam air panas semula jadi.

Namun, sebelum sampai ke situ, kejadian ATV hilang kawalan dan meluncur laju ke tepi jalan sebelum betul-betul berhenti di atas longkang akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan penulis dan rakan media lain.

Saat kejadian itu berlaku, perasaan tidak tergambar dengan kata-kata, namun kecekapan rakan penulis mengemudi ATV itu patut dipuji. Terasa lucu bila mengenang kembali momen itu.

Penerokaan seterusnya dengan sesi ‘mandi-mandi’ di Air Terjun Sungai Bantang. Bagi pencinta alam, kunjungan ke air terjun di Taman Eko Rimba Sungai Bantang ini memberi kepuasan tersendiri.

Gelongsor air di celahan batu sungai menjadi aktiviti wajib di sini. Kehijauan alam semula jadi yang kekal terpelihara juga memberi kedamaian tersendiri.

Sudah namanya percutian alam semula jadi, pendakian ke Bukit Tahang Rimau di belakang resort menjadi lokasi terakhir penerokaan rombongan penulis di Labis, Segamat.

Walaupun sedikit mencungap untuk sampai puncak, pendakian pendakian yang mengambil masa kira-kira 45 minit cukup mendamaikan.

Kabus pagi yang menutupi pemandangan yang menghijau cukup indah. Kira-kira 30 minit berada di puncak bukit itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan merakam memori indah bersama semua peserta sebelum masing-masing pulang ke kehidupan realiti selepas menyaksikan keindahan alam ciptaan Ilahi yang sangat indah.

GELONGSOR air di celahan batu sungai menjadi aktiviti wajib di Air Terjun Sungai Bantang.
GELONGSOR air di celahan batu sungai menjadi aktiviti wajib di Air Terjun Sungai Bantang.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat