Emel pembaca:
Baru-baru ini terdapat satu laporan yang menyatakan tentang langkah berani Kerajaan Sabah dalam meneroka sektor minyak dan gas (O&G), khususnya mengenai nasib Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) milik kerajaan dan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sabah yang baru ditubuhkan yang dikenali sebagai Tenaga Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sebagai sebuah entiti milik kerajaan Sabah yang diwujudkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji untuk mengubah negeri itu menjadi hab Minyak dan Gas, SMJ menjadi tumpuan selepas berita mengenai usaha penjanaan modal RM 900 juta, diketuai oleh penasihat teknikal dan pengerusi SMJ Bank Pembangunan Sabah (SDB) Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang.
Pada ketika ini hanya 10% daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Sabah (GLC) menunjukkan prestasi yang baik manakala, baki 90% daripada hampir 200 GLC milik kerajaan negeri adalah terdiri daripada syarikat yang hanya mencatatkan kerugian dan dilihat sebagai beban kepada pembayar cukai yang hasilnya dikutip di peringkat persekutuan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula nampak begitu teruja untuk membantu Negeri Di Bawah Bayu tersebut dengan terus memberi subsidi yang besar terhadap cita-cita tinggi negeri itu yang kononnya untuk mengembangkan ekonomi dan membantu rakyat Sabah yang miskin.
Usaha pemerolehan SMJ Energy, ditambah dengan terbitan Sukuk Wakalah atau Nota Jangka Pertengahan Islamik bernilai RM900 juta baru-baru ini, menimbulkan keresahan kerana dilihat kurangnya perancangan jangka panjang yang dibuat oleh syarikat tersebut. Walaupun kemasukan modal menjanjikan pengembangan SMJ Energy, ia juga mencetuskan spekulasi tentang peranan negeri dalam menyokong SIP dan agendanya yang lebih luas dalam sektor O&G dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan tempatan sedia ada di Sabah.
Perancangan bercita-cita tinggi SMJ Energy untuk memperoleh enam aset O&G tambahan, di samping usahanya untuk memuktamadkan pemerolehan RM1.2 bilion Sabah International Petroleum (SIP) dilihat sebagai satu usaha untuk menyelamat (bailout) oleh Kerajaan Negeri Sabah terhadap syarikat tersebut oleh ramai penganalisis Minyak dan gas, komuniti perniagaan, termasuk ahli politik seperti YB Bung Mokhtar yang baru-baru ini membangkitkan persoalan ini di Sidang DUN baru-baru ini.
Ketelusan bagaimana RM 900 juta digunakan oleh SMJ dipersoalkan oleh Bung, menyebabkan penelitian lebih lanjut oleh penggubal undang-undang dan pembangkang seperti yang dilaporkan dalam banyak media.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Dr Johan Ariffin Samad melahirkan rasa kecewanya terhadap risiko yang bakal dihadapi Kerajaan Sabah dalam perniagaan minyak dan gas.
Beliau berkata “Kami menganggap bahawa wang yang dikumpul ini akan digunakan untuk pemerolehan SMJ untuk mendapatkan aset minyak dan gas sedia ada dan untuk menyelamatkan SIP.”
Beliau seterusnya menambah bahawa “Kejayaan SMJ juga akan bergantung kepada pengurusan dan kakitangan yang diambil bekerja. Kebanyakan pengumuman oleh SMJ hanya berkaitan dengan pemerolehan dan gagal menyebut pemindahan teknologi dan kepakaran kepada rakyat Sabah.”
Penubuhan GLC baru seperti Sabah Maju Jaya (SMJ) Energy dan aktiviti penjanaan dananya ini mirip dengan modus operandi 1MDB yang sebelum ini telah menjalankan aktiviti memperoleh aset dan pada masa yang sama menetapkan asas untuk memulihkan 190+ GLC yang ternyata telah mengalami kerugian yang besar.
SIP yang pada asalnya ditubuhkan oleh kerajaan negeri Sabah untuk mengukuhkan kehadirannya dalam sektor tenaga, telah goyah di tengah-tengah landskap industry Minyak & Gas yang tidak menentu. Dengan aset berharga dan blok penerokaan di bawah kendaliannya, masalah kewangan SIP telah menyebabkannya syarikat tersebut terumbang-ambing dan mencetuskan kebimbangan bahawa dana pembayar cukai mungkin digunakan untuk tujuan tak sepatutnya.
Di dalam kebimbangan yang merunsingkan ini, YB Masidi Majun, Menteri Kewangan Sabah pula muncul sebagai tokoh penting yang menyokong pembaharuan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri. Beliau menggesa untuk melantik individu yang berwibawa untuk menerajui entiti ini disamping menggariskan pentingnya tadbir urus yang berkesan dan pengurusan yang bertanggungjawab, khususnya dalam sektor O&G.
Bagaimanapun, pelantikan Datuk Seri Lim (mantan pemimpin utama syarikat minyak Shell) yang juga sedang memegang jawatan sebagai pengarah di Ranhill sebagai penasihat teknikal SMJ, menimbulkan persoalan tentang apakah penjanaan modal yang sedang berlaku ini sewajarnya dilihat sebagai satu kejayaan.
Sedang Sabah melakarkan hala tujunya negeri tersebut dalam meneroka landskap industry Minyak & Gas, persoalan utama yang perlu ditanya adalah:
Apakah langkah seterusnya di sebalik pengambilalihan SIP dan aset lain oleh kerajaan negeri?
Jawapannya masih sukar difahami, tetapi apa yang dapat kita lihat adalah keperluan untuk ketelusan, akauntabiliti dan perancangan strategik dalam usaha memperkasakan industri Minyak & Gas Sabah untuk menjaga kepentingan rakyatnya. Tindakan kerajaan negeri juga perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan hasil yang mampan berbanding terus membela GLC negeri yang merugikan dan berkemungkinan akan menyebabkan berbilion-bilion wang pembayar cukai terus dibazirkan, sepertimana yang telah kita saksikan dalam dekad yang lepas.
Atau patutkah Kerajaan Negeri meluluskan pelantikan pakar pemulihan atau transformasi yang boleh dipercayai untuk menetapkan SMJ dan GLC yang lain?
Jelas Hajiji dan Masidi sedang kesuntukan masa dalam merancang untuk mengubah GLC Sabah kerana bajet Kerajaan Persekutuan telah terjejas teruk oleh permintaan dan permainan kuasa politik di Sabah.
Seperti yang disebut oleh Datuk Dr Johan Ariffin, beliau berkata pemerhati perniagaan petroleum menegaskan jika SMJ Energy mahu dibangunkan, GLC negeri perlu mempersiapkan syarikat yang mirip dengan Petros Sarawak, kerana sekiranya perkara ini tidak dilakukan ia akan hanya menjadi syarikat operator pasif.
Menjadi pengendali pasif (atau hanya sebagai pelabur) mungkin bukan cara terbaik untuk memastikan pembayaran dividen kepada Sabah dipenuhi kerana ia merupakan satu kerugian untuk tidak meletakkan SMJ Energy sebagai pemangkin pembangunan negeri sepertimana yang sedang dilakukan oleh kerajaan Negeri Sarawak di bawah PETROS Sarawak.
Jelas sekali, komuniti perniagaan Sabah tidak akan mendapat faedah daripada strategi sedia ada oleh Masidi Manjun dan pengangguran dalam pekerjaan bernilai tinggi dalam industri Minyak dan Gas akan mencetuskan tekanan kepada penggubal undang-undang untuk membuat perubahan transformatif yang drastik.
Sesungguhnya, pada ketika ini usaha Sabah dalam membangunkan industri Minyak & Gas mempunyai banyak risiko dan ianya tidak ditangani dengan baik oleh pentadbiran Kerajaan Negeri. Sudah tiba masanya, keperluan anak negeri didahulukan, dan limpahan ekonomi daripada projek-projek Mega seperti ini seharusnya dirasai oleh setiap anak negeri.