‘Karpet hijau’ Sungai Kenaboi

- Advertisement -

BAGI mereka yang inginkan ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan belantara, Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan adalah lokasi yang sesuai untuk anda.

Taman negeri yang terletak di dalam Hutan Simpan Kenaboi ini mempunyai pelbagai tarikan istimewa untuk pencinta alam termasuk Jeram Berungut, Lata Dinding dan Gunung Besar Hantu.

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk merasai pengalaman berkhemah selama dua hari satu malam di Taman Negeri Kenaboi bersama 20 pengamal media menerusi program Kembara Media 2023 Selangor dan Negeri Sembilan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Kami dibawa menuju ke Taman Negeri Kenaboi dengan menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan.

Sebaik tiba, peserta begitu teruja dapat melihat Sungai Kenaboi yang mengalir tenang sehingga membuatkan kami tidak sabar untuk merasai kedinginan air selepas menempuh perjalanan yang agak jauh.

Selepas mendengar taklimat ringkas oleh Penolong Pengarah Taman Negeri Kenaboi, Nur Ainina Khairunnisa Othman, penulis bersama peserta lain terus ‘terjun’ ke dalam sungai yang terletak hanya 10 meter dari tapak perkhemahan.

Pada keesokan hari seawal jam 7 pagi, penulis bersama peserta lain dibawa ke salah satu lokasi menarik di Taman Negeri Kenaboi iaitu Jeram Berungut yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.

Terdahulu, peserta diingatkan untuk mengenakan pakaian dan kasut bersesuaian kerana perlu merentas dan menyeberang sungai.

 

PENGAMAL media mengabadikan kenangan di Jeram Berungut.
PENGAMAL media mengabadikan kenangan di Jeram Berungut.

 

Perjalanan diketuai jurupandu Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang berpengalaman dengan selok belok perjalanan ke lokasi terbabit.

Sepanjang perjalanan, peserta diberi penerangan oleh jurupandu berkenaan tumbuh-tumbuhan unik yang terdapat di sepanjang laluan.

Benar bagai dikata, kami terpaksa menyusuri dan menyeberang sungai yang mempunyai kedalaman dan kederasan yang berbeza. Penulis sendiri beberapa kali hampir tergelincir kerana terpijak batu licin di dalam sungai.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus perjalanan memerlukan pengunjung merentasi anak sungai.

Selepas hampir sejam perjalanan, tanpa disedari, kami berada di antara dua dinding besar dengan dipenuhi lumut hijau yang membentuk landskap semula jadi yang menarik.

 

LALUAN ke Jeram Berungut.
LALUAN ke Jeram Berungut.

 

Pada ketika itu, penulis dapat rasakan seolah-olah berada di lokasi penggambaran filem ‘Lord Of The Rings.’

Masih terdapat kejutan lain kerana apabila pengunjung menyusuri hingga ke hujung celahan batu besar ini, terdapat air terjun yang mengalir deras.

Kami meluangkan masa hampir 30 minit di situ sebelum memulakan perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.

Sebelum tiba di tapak perkhemahan, kami singgah di ‘Survival Camp’ untuk menikmati masakan rimba termasuk ubi kayu, mi segera dan ayam bakar yang dimasak dengan buluh. Kami turut ditunjukkan demonstrasi menghidupkan api.

Bagi penulis ia satu pengalaman yang cukup mengagumkan apabila dapat melihat sendiri keindahan alam semula jadi ini yang tersembunyi di tengah-tengah hutan belantara.

 

CABARAN yang perlu dihadapi.
CABARAN yang perlu dihadapi.

 

Nur Ainina berkata, objektif utama taman negeri ini diperkenalkan adalah untuk pengunjung bukan sekadar melakukan aktiviti riadah malah menghargai semula jadi.

“Kami di sini, sangat menjaga dari sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besar flora dan fauna di sini untuk memastikan ia dapat ditatapi serta dihargai generasi akan datang,” katanya.

Katanya, Jeram Berungut antara lokasi tumpuan bagi mereka yang inginkan kelainan di Taman Negeri Kenaboi.

“Walaupun sebelum sampai ke sana kadang kala ada yang ‘merungut’ sedikit, namun apabila tiba, mereka akan teruja dihidangkan dengan pemandangan yang menakjubkan.

“Untuk ke sini, kita hanya benarkan individu berusia 12 tahun ke atas kerana laluannya yang agak mencabar.

“Kita turut menyediakan jurupandu dalam kalangan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, jaket keselamatan dan tali keselamatan,” katanya.

 

BERKHEMAH di tebing sungai.
BERKHEMAH di tebing sungai.

 

Menurutnya, selain itu, terdapat tarikan lain di sini iaitu kepelbagaian flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat lain termasuk Rama-Rama Kebangsaan Rajah Brooke.

Jelasnya, aktiviti perkhemahan yang dijalankan di sini mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pengunjung kerana sungainya yang bersih dan mengalir perlahan.

“Bagaimanapun, kita hanya membenarkan 12 khemah pada satu-satu masa untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Kita turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dewan, tandas, rumah rehat, asrama dan sebagainya,” katanya.

Nur Ainina berkata, untuk masuk ke Taman Negeri Kenaboi, pengunjung perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dengan bayaran yang berpatutan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat