Inap bersama jernih air sungai

- Advertisement -

AIR sungai jernih hanya terletak kurang 50 meter dari tempat penginapan ‘glamping’ yang disediakan, sememangnya memberi kemudahan kepada pengunjung untuk menikmati kesegaran air gunung yang mengalir tenang petang itu.

Kira-kira lima jam memandu ke destinasi percutian peribadi penulis kali ini ke Sumpitan Glamping yang terletak di Kampung Sumpitan, Lenggong, Perak ternyata amat berbaloi kerana ia adalah lokasi percutian yang ‘eksklusif’ bagi mereka yang gemarkan segmen percutian alam semula jadi.

Sebaik sahaja tiba di Glamping Sumpitan, penulis langkah kanan kerana bertemu pemiliknya, Muhammad Muzammil Ashanushi Muhammad Salleh Ashanushi dan sempat berborak sambil menggali maklumat mengenai destinasi itu.

Bapa lelaki berusia 37 tahun itu adalah anak jati Lenggong dan ketika zaman kanak-kanaknya, sudah pasti Muzzammil atau lebih mesra disapa Mel menjadikan Kampung Sumpitan sebagai tempat permainannya ketika musim cuti persekolahan.

Rasa cemburu penulis ketika dimaklumkan hal itu kerana Lenggong, khususnya Kampung Sumpitan begitu indah dengan panorama alam semula jadi masih tidak terusik dengan dunia konkrit. Apatah lagi aura berada di kampung sebenar dapat dinikmatinya sepenuhnya.

Katanya, melihat kepada keindahan alam semula jadi di Lenggong terutama di Kampung Sumpitan pada 2020 dia membuka destinasi percutian berkonsepkan tapak perkhemahan dan perkhemahan glamor atau ‘glamping’.

“Di Sumpitan Glamping ini hanya terdapat 10 penginapan glamping dan 15 tapak perkhemahan yang boleh disewa pengunjung jika mereka ingin membawa khemah sendiri dan bersantai sambil menikmati air sungai serta kemudahan lain yang terdapat di sini.

“Walaupun pengunjung menyewa tapak perkhemahan pada RM60 semalam dan caj seorang RM10, mereka boleh menggunakan semua kemudahan yang sama dengan penyewa glamping seperti gazebo, kolam renang kanak-kanak dan tapak unggun api serta pantri,” katanya.

 

PENGUNJUNG boleh memasak di luar khemah di tempat yang disediakan.
PENGUNJUNG boleh memasak di luar khemah di tempat yang disediakan.

 

Jelasnya, berbeza dengan penyewa glamping mereka dikenakan caj RM85 seorang semalam untuk khemah yang boleh memuatkan empat orang dan harga itu termasuk sarapan. Daripada segi keselesaan pastinya glamping menjadi pilihan kerana segala-galanya sudah tersedia seperti bilik hotel, hanya bilik mandi dan tandas berada di luar khemah.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung jika bertandang di sini pastinya menerokai pelbagai keindahan dan keunikan alam semula jadi yang terdapat di Lenggong. Antaranya berjalan denai, berbasikal, menikmati air terjun, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), mendaki gunung dan paling popular ialah menerokai pelbagai keunikan gua di sini.

 

PENGUNJUNG boleh bersantai menikmati unggun api.
PENGUNJUNG boleh bersantai menikmati unggun api.

 

“Di Lenggong ini saya difahamkan terdapat lebih 75 gua dan hanya kira-kira 30 sudah diterokai. Jadi, jika pengunjung ingin melakukan aktiviti menerokai alam semula jadi ini, kami bekerjasama dengan penunjuk arah tempatan untuk memberi pengalaman itu dengan harga yang mampu milik,” katanya.

Ketika berada di Sumpitan Glamping selama tiga hari dua malam, penulis yang menginap di tapak perkhemahan berhampiran sungai mengambil keputusan untuk mengisi aktiviti santai pada sebelah siang dengan menerokai beberapa gua antaranya Gua Putri, Gua Kajang dan Gua Harimau.

Puas ‘mengerah’ tenaga menerokai gua, ketika pulang kembali ke Sumpitan Glamping, air sungai jernih pula menyambut untuk berendam menyejukkan badan. Di tepi sungai pula terdapat pelantar kayu yang boleh berehat membaca buku sambil mendengar nyanyian air sungai.

Paling menarik, di lokasi itu amat bersih dan selamat untuk membawa anak kecil dan warga emas beriadah kerana kemudahan yang disediakan seperti berada di resort yang amat mementingkan kepuasan pengunjung.

 

BERSANTAI menikmati kopi di tepi sungai amat mendamaikan.
BERSANTAI menikmati kopi di tepi sungai amat mendamaikan.

 

Bagi mereka yang gemarkan kopi, pasti akan memilih lokasi ini kerana di dalam tapak perkhemahan itu terdapat ‘kedai kopi’ yang dinamakan Piokopi yang juga milik Sumpitan Glamping.

Bagi pengunjung seperti penulis yang tidak mengambil pakej sarapan, tidak perlu khuatir kerana pada waktu pagi terdapat gerai menjual sarapan oleh penduduk kampung yang banyak di tepi jalan raya. Jika memandu kurang lima minit boleh membeli sarapan daripada penduduk kampung.

Soal makan tengah hari dan malam juga tidak perlu khuatir kerana di Lenggong seperti di pekannya terdapat banyak pilihan juadah lauk-lauk kampung disediakan kepada pengunjung. Harganya cukup berbaloi!

Pada sebelah malam pula, lokasi penginapan itu cukup meriah dengan limpahan lampu jingga di sekelilingnya. Bagi anda yang gemarkan memancing mungkin pada waktu ini boleh mengail ikan sungai sambil duduk di atas gazebo di tepi sungai.

Bagi penulis percutian kali ini amat berbaloi kerana bukan sekadar dapat menikmati dunia semula jadi di Lenggong malah berkhemah di tapak perkhemahan ala resort. Untuk makluman, tandas di sini amat bersih dan selesa!

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat