KUALA LUMPUR – Aktiviti penyeludupan haram termasuk rokok dan minuman keras telah mencatatkan nilai kehilangan cukai hampir RM1 bilion sejak 2020 hingga kini,” kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah.

Ujar beliau, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (atau JKDM) merekodkan jumlah perolehan rampasan rokok dan minuman keras tidak sah sebanyak 2,842 kes pada tahun 2020 dan 2,518 kes setakat September lalu.

“Keseluruhannya kerugian mencecah RM97.34 juta dan melibatkan nilai kehilangan cukai sebanyak RM707.14 juta.

“Bagi tahun 2021, statistik sama mencatatkan rampasan bernilai 41.43 juta ringgit, dengan jumlah kehilangan cukai terlibat adalah sebanyak 281.69juta ringgit,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu, Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) meminta supaya kementerian itu menyatakan jumlah kerugian hasil negara akibat dari aktiviti penyeludupan haram termasuk arak dan rokok serta langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurut Mohd. Shahar, dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras, JKDM sentiasa mempergiat kawalan.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan di samping melakukan pelbagai Operasi Khas dan Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras.

“Sungguhpun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19, usaha menangani aktiviti penyeludupan terus dipertingkat oleh JKDM dari semasa ke semasa melalui pelbagai aktiviti termasuk Op Benteng, Operasi Portcullis, Operasi Sepadu Marin Kastam dan Ops Pacak,” katanya.