KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan penglibatan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar serta mengkaji polisi perolehan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempena majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) hari ini menyaksikan satu lagi usaha dan keprihatinan Kerajaan dalam membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan sosioekonomi, seterusnya memperkasakan agenda Bumiputera yang dinaungi oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera atau lebih dikenali sebagai TERAJU.

Selain itu katanya, Kerajaan juga sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang oleh agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.

“Mekanisme ini akan diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi-agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka.

“Atas kesedaran cabaran dan kedudukan yang digambarkan ini, saya berbesar hati untuk hadir merasmikan sebuah hala tuju yang akan menjadi rujukan bagi mencapai agenda besar berkaitan Bumiputera.

“Di samping pendekatan baharu, TPB2030 juga akan berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.

“TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung oleh RMKe-12 yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, TPB2030 telah mengenalpasti enam Sasaran Utama untuk dicapai menjelang tahun 2030. Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi

“Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.

“Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti. Sepertimana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir.

“Namun, TERAJU juga mestilah moden dalam pendekatannya. Dalam menjayakan agenda Bumiputera, TERAJU dan agensi pelaksana lain mestilah memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan.

“TPB2030 mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing. Tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai,” jelasnya.

Pun begitu tegas beliau, kita mesti mengambil iktibar dari segala program Bumiputera yang telah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran-sasaran asal.

Maka katanya, dalam merencanakan TPB2030, pendekatan sesuai dengan abad ke 21 mesti diutamakan agar kita tidak sekali lagi hanya gah dalam ucapan dan pelan atas kertas, tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang mampu benar-benar mengubah nasib golongan Bumiputera di negara ini.

“Kejayaan Bumiputera bukan hanya agenda Bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.

“Kita turut mampu memacu agenda Bumiputera ke peringat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Pelancaran TPB2030 hari ini tepat pada masa dan ketikanya. Dengan mandat yang digalas oleh TERAJU sebagai penyelaras, hala tuju ini bakal menjadi pemangkin kepada kewujudan ekosistem Bumiputera yang berkembang maju, selaras dengan kepesatan teknologi dan arus pembangunan global,” katanya lagi.

Perdana Menteri menambah, semangat di sebalik TPB2030 ini adalah untuk melahirkan generasi baharu Bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai- nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tabah, berdikari serta kompetitif dari segi usaha dan pemikiran.

“Kita mahukan generasi yang berkebolehan, berkelayakan serta mempunyai pengiktirafan agar berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan Bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah.

“Generasi kita hari ini akan mempertaruhkan TPB2030 sebagai pusaka warisan, penebus maruah dan pembela martabat Bumiputera sepuluh tahun akan datang,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri melayari lebih 60 tahun tempoh kemerdekaan negara serta mendukung agenda pembangunan mapan, Kerajaan amat menitikberatkan pencapaian keseimbangan dan kesaksamaan di kalangan rakyat.

“Walaupun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, status sosioekonomi Bumiputera masih pada tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti Bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini,” jelas beliau.