KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sistem yang bukan sekadar memerhati, tetapi mampu menjangka dan bertindak lebih awal.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan, landskap jenayah komersial kini beralih ke alam digital, di mana setiap data boleh dimanipulasi dan setiap identiti boleh dipalsukan.
“Pagi ini saya di Bukit Aman, berbincang tentang bagaimana kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan dalam usaha menangani jenayah komersial.
“Landskap jenayah komersil kini beralih ke alam digital, di mana setiap data boleh dimanipulasi dan setiap identiti boleh dipalsukan. Untuk mendahului ancaman ini, kita perlu sistem yang bukan sekadar memerhati, tetapi mampu menjangka dan bertindak lebih awal.
“Saya percaya, jika digarap dengan betul, AI boleh menjadi perisai digital negara dan membantu kita melindungi rakyat daripada ancaman yang semakin kompleks, dan pada masa sama memastikan integriti penguatkuasaan terus terpelihara,” tegas Saifuddin.
Sebelum ini, PDRM pernah menyatakan, teknologi AI sebagai keupayaan penting dalam memperkukuh siasatan forensik bagi menangani kes jenayah yang semakin rumit.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara kepentingan AI dalam siasatan forensik adalah kebolehannya membina semula lokasi kejadian secara maya untuk memberi perspektif lebih mendalam kepada pasukan penyiasat.
“Ini lanjutan daripada landskap jenayah yang semakin kompleks menuntut pengukuhan keupayaan fasiliti teknologi sains forensik yang lebih moden dan canggih agar dapat menandingi trend manipulasi oleh sindiket jenayah global.
“Maka dari segi teknologi forensik PDRM, Alhamdulillah kita memang ada, cuma perlu sentiasa dikemas kini ikut perkembangan semasa. Banyak juga yang dipamerkan itu sebenarnya sudah ada dalam PDRM,” katanya.



