AGC akan fail rayuan keputusan mahkamah perintah bayar ganti rugi kehilangan Amri, pastor Raymond

KUALA LUMPUR- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi kepada isteri aktivis sosial, Amri Che Mat dan keluarga Pastor Raymond Koh.

AGC memaklumkan, pihaknya telah meneliti serta mempertimbangkan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi sebelum mengambil keputusan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan tersebut.

“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan hakim, jabatan ini akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri pada 24 November 2016, serta mengarahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 kepada isterinya, Norhayati Mohd Ariffin.

Ganti rugi itu merangkumi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi khas RM14,457.52 dan kos prosiding RM250,000, selain faedah yang turut diberikan kepada plaintif.

Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini serta melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Menurut penghakiman hampir dua jam itu, hakim mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan prinsip imbangan kebarangkalian, selain menyatakan pihak berkuasa telah melanggar hak plaintif untuk hidup sebagaimana dijamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan tersebut.

Norhayati memfailkan saman itu bagi mendapatkan maklumat mengenai nasib suaminya serta menuntut pampasan berdasarkan dapatan Laporan Pasukan Petugas Khas, lapor Utusan.

Beliau pada asalnya menamakan 21 defendan termasuk kerajaan, PDRM dan beberapa individu, namun kemudiannya menggugurkan saman terhadap 15 daripadanya, termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Dalam Negeri antara 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.

Dalam keputusan berasingan, hakim sama turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh selepas mendapati kedua-dua pihak terbabit dalam penculikannya yang berlaku lapan tahun lalu.

Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar pampasan berjumlah RM10,000 sehari bermula dari tarikh kehilangan Raymond pada 13 Februari 2017 sehingga tarikh polis mendedahkan keberadaannya.

Hakim Tiang Joo dalam keputusannya turut menyatakan satu atau lebih defendan terdiri daripada pegawai serta bekas pegawai polis didapati terlibat secara langsung dalam penculikan itu dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat