Selepas 55 tahun memainkan peranan dalam pembangunan industri perikanan negara, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus kukuhkan tanggungjawabnya bukan sahaja dalam memastikan bekalan ikan mencukupi, malah membantu meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan, keusahawanan dan pendigitalan perkhidmatan.
Ditubuhkan dengan matlamat memajukan sektor perikanan serta menjaga kebajikan komuniti nelayan, LKIM kini berdepan cabaran yang semakin kompleks, terutama perubahan cuaca, keterbatasan sumber ikan dan peningkatan permintaan makanan selari dengan pertambahan penduduk.
Menyedari keadaan itu, LKIM mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan industri perikanan terus berkembang, termasuk menggalakkan nelayan meneroka bidang perniagaan supaya mereka tidak hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut sebagai sumber pendapatan utama.

Pengerusi LKIM, YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha menjamin keterjaminan bekalan makanan negara perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi golongan nelayan kerana pendapatan daripada aktiviti menangkap ikan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Justeru, LKIM mempergiat pelaksanaan agenda Satu Persatuan Satu Produk (SPSP) bagi menggalakkan persatuan nelayan terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan dan perusahaan hiliran. Antara bidang yang diterokai termasuk pemprosesan hasil laut, penghasilan ikan kering, belacan, keropok serta pelbagai produk makanan berasaskan sumber perikanan.
Malah, usaha membuka kedai runcit di beberapa kawasan turut dilaksanakan bagi membantu memasarkan produk keluaran persatuan nelayan. Pendekatan ini bertujuan membentuk satu ekosistem perniagaan yang lengkap, bermula daripada aktiviti menangkap ikan, pemprosesan, pembungkusan sehingga pemasaran kepada pengguna.
Dalam masa sama, LKIM turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan sumber ikan menerusi pembinaan unjam dan tukun tiruan di lokasi tertentu bagi menyediakan kawasan pembiakan serta membantu menambah sumber perikanan negara.
Menurut Muhammad Faiz, kadar sara diri (SSR) ikan negara ketika ini berada sekitar 90 peratus. Bagaimanapun, keperluan bekalan berbeza mengikut spesies dan permintaan pengguna. Sebagai contoh, pengeluaran ikan siakap mampu melebihi permintaan tempatan sehingga sebahagiannya dieksport ke Thailand, manakala ikan kembung masih memerlukan import bagi memenuhi permintaan pasaran domestik.
Selain pembangunan ekonomi nelayan dan keterjaminan bekalan ikan, LKIM turut membuktikan kesungguhan dalam memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi digital.
Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan meraih Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 menerusi inovasi aplikasi MyMinyak yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan (PMN).
Aplikasi tersebut diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan, khususnya dalam memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Muhammad Faiz berkata, isu ketirisan subsidi bahan api bukan perkara baharu dan memerlukan sistem pemantauan lebih berkesan. Menerusi MyMinyak, proses pengesahan identiti termasuk penggunaan teknologi imbasan wajah membantu memastikan hanya nelayan berdaftar dapat menikmati kemudahan pembelian bahan api bersubsidi.

Beliau menjelaskan, nelayan juga perlu mengisytiharkan hasil tangkapan sebagai sebahagian daripada proses pengesahan sebelum menikmati kemudahan subsidi berkenaan. Sistem ini bukan sahaja membantu meningkatkan ketelusan, malah mengurangkan risiko penyalahgunaan bantuan kerajaan.
Bagaimanapun, peralihan kepada sistem digital memerlukan usaha berterusan, terutama bagi membantu nelayan berusia yang mungkin kurang biasa menggunakan aplikasi telefon pintar. Sehubungan itu, LKIM akan meneruskan sesi libat urus dan latihan dengan bantuan persatuan nelayan yang berperanan sebagai penghubung serta pembimbing kepada komuniti setempat.
Mengulas perjalanan LKIM sepanjang 55 tahun, Muhammad Faiz menyifatkan usia tersebut sebagai tempoh kematangan yang perlu disusuli dengan kesediaan menghadapi cabaran baharu. Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama seluruh warga kerja LKIM, termasuk pegawai di peringkat pengurusan dan lapangan, bagi memastikan setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada nelayan.
Sambutan ulang tahun ke-55 LKIM yang berlangsung di Dewan Besar LKIM, Pulau Meranti itu disempurnakan oleh Muhammad Faiz dengan diiringi Ketua Pengarah LKIM, YBhg. Dato’ Dr. Haji Abdul Salim bin Haji Tajudin. Majlis turut menghimpunkan pengarah bahagian dan negeri, warga kerja LKIM serta wakil persatuan nelayan.
Sambutan turut dimeriahkan dengan program Jualan Agro MADANI @ Pasar Nelayan Pulau Meranti yang menawarkan hasil laut segar menerusi jualan istimewa Happy Hour, aktiviti pengukuhan interaktif serta perasmian fasiliti baharu Bawal Lounge di Aras 2, Wisma LKIM.
Lebih daripada sekadar meraikan ulang tahun penubuhan, sambutan kali ini menjadi gambaran hala tuju LKIM untuk terus bergerak seiring perubahan zaman. Dengan memberi tumpuan kepada kebajikan nelayan, pembangunan perniagaan hiliran, keterjaminan bekalan ikan dan penggunaan teknologi digital, LKIM berharap industri perikanan negara dapat terus berkembang sebagai sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi serta bekalan makanan negara.



