BEIJING – Mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati ke atas lima anggota tertinggi mafia Myanmar yang terkenal, ketika Beijing meneruskan tindakan keras terhadap sindiket penipuan di Asia Tenggara.
Secara keseluruhan, 21 ahli keluarga Bai dan rakan mereka disabitkan kesalahan penipuan, pembunuhan, mencederakan orang dan jenayah lain, menurut laporan media kerajaan yang disiarkan di laman web mahkamah.
Keluarga itu merupakan antara beberapa kumpulan mafia yang mula berkuasa pada tahun 2000-an dan mengubah bandar terpencil Laukkaing yang miskin menjadi pusat mewah kasino dan kawasan pelacuran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka beralih kepada penipuan dalam talian yang memerangkap ribuan pekerja, ramai daripadanya warga China yang didera dan dipaksa menipu mangsa dalam operasi jenayah bernilai berbilion dolar.
Ketua mafia, Bai Suocheng dan anaknya Bai Yingcang antara lima lelaki yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Pertengahan Shenzhen. Tiga yang lain adalah Yang Liqiang, Hu Xiaojiang dan Chen Guangyi.
Dua lagi ahli keluarga Bai dikenakan hukuman mati yang ditangguhkan. Lima dijatuhi penjara seumur hidup, manakala sembilan lagi menerima hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun.
Pihak berkuasa berkata, keluarga Bai yang paling berpengaruh dalam politik dan ketenteraan itu menubuhkan 41 kompleks untuk menempatkan operasi penipuan siber dan kasino mereka.
Aktiviti jenayah tersebut melibatkan lebih 29 bilion yuan China (RM17.05 bilion) dan mengakibatkan kematian enam warga China, satu kes bunuh diri dan beberapa kecederaan, menurut media kerajaan.
Hukuman berat itu adalah sebahagian daripada kempen China untuk membanteras rangkaian penipuan besar-besaran di Asia Tenggara dan memberi amaran keras kepada sindiket jenayah lain, lapor Agensi.
Pada September lalu, sebuah mahkamah China menjatuhkan hukuman mati ke atas 11 anggota keluarga Ming, satu lagi klan berpengaruh di Laukkaing.



