BANGI — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan masyarakat diharap terus menjadi pemangkin kepada usaha untuk mempergiatkan lagi program-program kesedaran awam berkaitan ancaman bencana dan keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata APM perlu memperbanyakkan aktiviti kempen kesedaran, dan memperkasa kolaborasi dengan agensi lain.
Selain itu katanya APM juga perlu mempertingkatkan penglibatan sukarelawan serta memanfaatkan teknologi Artificial Intelligence (AI).
“Apa yang saya gariskan malam ini merupakan sebahagian inisiatif yang boleh diberikan tumpuan oleh APM untuk memastikan masyarakat sentiasa peka dan bersedia menghadapi sebarang ancaman keselamatan yang mungkin timbul.
“Kesedaran awam adalah kunci dalam membentuk masyarakat yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Perdana Warga APM di Hotel Tenera, semalam.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata APM perlu lebih agresif untuk mempelajari amalan terbaik dari seluruh dunia bagi meningkatkan keupayaan pertahanan awam kita secara signifikan.
“Dalam hal ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan melihat negara Switzerland yang telah berjaya mewujudkan rangkaian tempat perlindungan (shelters home) kira-kira 300,000 tempat perlindungan peribadi dan 5,100 tempat perlindungan awam, ini bermakna mereka berjaya memastikan perlindungan untuk lebih daripada 100% populasi mereka.
“Selain itu, mereka turut menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan integrasi tempat perlindungan nuklear kepada setiap bangunan baru yang dibina.
“Dengan lebih 8.6 juta ruang perlindungan tersedia, mereka menunjukkan bagaimana perancangan strategik dan pandangan jauh dapat memperkukuh daya tahan negara,” katanya.
Jelasnya mereka berjaya meyakinkan seluruh rakyatnya bahawa keselamatan rakyat sentiasa diberikan keutamaan dan disokong oleh pendidikan awam yang konsisten, latihan berkala, dan sistem komunikasi yang canggih
“Kita lihat juga Indonesia dan Turki, kedua-dua negara ini, seperti Malaysia, iaitu negara ekonomi membangun yang menghadapi pelbagai cabaran semula jadi dan buatan manusia.
“Indonesia telah melabur secara besar-besaran dalam pengurusan risiko bencana, dengan memberi penekanan kepada strategi berasaskan komuniti, pendidikan awam, dan kerjasama dengan Kerajaan Tempatan,” ujarnya.