KUALA LUMPUR – Peluang ekonomi antara Malaysia dan Jepun yang sangat berpotensi tinggi untuk dibangunkan ialah industri peralihan tenaga hidrogen, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurut beliau, Malaysia membina keseluruhan rantaian nilai dalam penghasilan dan eksport cecair gas asli (LNG) melalui kerjasama dengan Jepun sejak tahun 1980an.
Justeru kata Rafizi, hubungan dan saling percaya yang telah terbina itu kini boleh diluaskan untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai tenaga hidrogen pula supaya Malaysia menjadi peneraju sektor ini seperti kita menjadi peneraju industri LNG.
“Perbincangan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fumio Kishida, Perdana Menteri Jepun menyentuh pelbagai perkara merangkumi peluang ekonomi bersama dan usaha di peringkat antarabangsa menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
“Satu bidang yang berpotensi tinggi antara Malaysia dan Jepun ialah industri peralihan tenaga. Negara Jepun mempunyai sasaran peralihan tenaga yang tinggi. Selain dari tenaga boleh baru yang biasa kita dengar (seperti solar dan angin), Jepun adalah antara beberapa negara yang paling ke depan dalam membangunkan rantaian nilai tenaga hidrogen.
“Di sinilah peluang yang terbuka luas untuk Malaysia. Kita membina keseluruhan rantaian nilai dalam penghasilan dan eksport cecair gas asli (LNG) melalui kerjasama dengan Jepun sejak tahun 1980an. Hubungan dan saling percaya yang telah terbina itu kini boleh diluaskan untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai tenaga hidrogen pula supaya Malaysia menjadi peneraju sektor ini (seperti kita menjadi peneraju industri LNG),” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi juga berkata beliau mewakili negara dalam sidang Asia Zero Emission Community (AZEC) yang dipelopori oleh Jepun dalam bulan Mac lalu.
“Hasil perbincangan dari AZEC meyakinkan saya bahawa Malaysia perlu mempercepatkan pertumbuhan sektor-sektor industri berasaskan peralihan tenaga sehinggalah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) diluncurkan Julai lalu.
“Tumpuan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selepas ini ialah mempercepatkan usaha supaya teknologi dan penggunaan tenaga hidrogen diperdanakan menjelang 2026 agar kita dapat menangkap peluang ekonomi hidrogen yang ditawarkan oleh Jepun.
“Bagi mereka yang ingin memahami bagaimana tenaga hidrogen berfungsi, boleh gunakan Google atau ChatGPT,” ujarnya.
Untuk rekod, MOSTI menyasarkan tenaga hidrogen mampu dimiliki pada harga 15 sen kilowatt per jam (kWj) menjelang lima tahun lagi bagi pasaran tempatan.
Menterinya Chang Lih Kang berkata ketika ini tenaga itu dijual pada harga 60 hingga 80 sen setiap kWj di pasaran tempatan.
“Sekarang ni mahal sebab pasaran belum (sepenuhnya). Apabila pengguna dan keseluruhan ekosistem lengkap, maka akan ada lebih ramai pengguna dan harga pengeluaran akan lebih murah,” katanya.
Chang berkata usaha itu membuktikan potensi tenaga hidrogen sebagai bahan api alternatif berdasarkan permintaan dan merupakan pendekatan baharu bagi penyelesaian tenaga lebih cekap.
“Berdasarkan perencanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HTER) dengan kementerian berhasrat untuk menerajui dalam perkembangan ekonomi hidrogen menjelang 2050.
“Ini sekali gus menunjukkan komitmen kita kepada penambahbaikan alam sekitar, pengurangan pelepasan karbon serta peningkatan peralihan tenaga untuk industri yang lebih mampan,” katanya.
Pada 5 Okt lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang bakal meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam peralihan tenaga dan menjadi peneraju serantau dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).
Kejayaan pelaksanaan HETR itu akan membolehkan Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050.