Kes Najib: Bahaya Persenda Undang-Undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak, penjatuhan hukuman penjara ke atas Datin Seri Rosmah Mansor dan Tan Sri Isa Samad serta perbicaraan kes-kes rasuah profil tinggi yang lain bukanlah sebab untuk kita bergembira.

Sebaliknya kita berdukacita kerana diturunkan bala dalam bentuk pemimpin-pemimpin yang jahat.

Menurut Tokoh Wartawan Nasional, Datuk A. Kadir Jasin, inilah bala tersalah memilih ketua.

“Janganlah pula ada yang bersubahat melepaskan mereka.

“Penjenayah terbabit mungkin sedang atau akan membayar hutang perbuatan keji mereka di belakang pagar besi tetapi kitalah yang terpaksa memikul beban perbuatan mereka. Malah makan, pakai dan perubatan mereka dalam penjara pun kita yang tanggung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tegas beliau, bencana politik, ekonomi dan psikologi yang mereka tinggalkan akan menghantui dan membebankan kita untuk satu tempoh yang panjang.

“Dalam proses mencari keadilan dan membersihkan negara kita daripada najis rasuah ini, kestabilan dan keutuhan politik kita diuji.

“Kita boleh berbangga dengan keazaman Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pilihannya untuk membawa kes-kes rasuah profil tinggi ke muka pengadilan walaupun sempat mentadbir selama 22 bulan sahaja sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa luar Parlimen pada Februari 2020.

“Alhamdulillah kerajaan-kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak campur tangan dalam perbicaraan mereka walaupun ada tekanan ke arah itu.

“Ini, sedikit sebanyak, membuktikan yang kelakuan politik (political behaviour) kita selepas kekalahan Umno/BN pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berubah menjadi lebih baik,” jelas beliau.

Di sudut ekonomi pula katanya, kerosakan institusi, beban hutang dan kos projek-projek mega yang mereka tinggalkan akan mengambil masa yang panjang dan perbelanjaan yang banyak untuk diselesaikan.

“Hutang 1MDB yang sebanyak RM50.75 bilion itu akan hanya habis dibayar balik pada 2039 iaitu 24 tahun dari sekarang.

“Banyak lagi hutang lain yang dibuat oleh Najib, sama ada yang berkaitan dengan kes-kes rasuah beliau, atau tidak yang terpaksa kita tanggung. Misalnya hutang KWAP RM9.2 bilion, Pembinaan PFI Sdn Bhd RM25 bilion dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) termasuk kos pengambilan tanah serta faedah pinjaman lebih RM66 bilion dan banyak lagi.

“Tidak kira parti dan Perdana Menteri mana memerintah, hutang ini wajib dibayar kerana ia diambil atas nama kerajaan,” tegas A. Kadir lagi.

Manakala dari segi psikologi, katanya perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin ini dan ahli keluarga mereka telah, secara khusus, menyebabkan orang Melayu sendiri hilang keyakinan kepada Umno manakala orang ramai amnya mula tawar hati terhadap politik.

“Ramai orang tidak percaya lagi kepada ahli politik dan proses pilihan raya. Aliran ini sangat bahaya kerana boleh membawa kepada pembentukan kerajaan minoriti yang dipilih oleh sebilangan kecil pengundi sahaja.

“Harapan kita, undi 18 akan menyegarkan semula persekitaran politik dan melahirkan barisan pemimpin pewaris yang berwibawa.

“Jadi janganlah pula ada sesiapa bermain dengan api dan mempersendakan undang-undang dan kuasa.

“Najib sudah masuk penjara. Dia wajib di situ seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara. Jangan lagi dibeza-bezakan antara rakyat biasa dengan orang kenamaan,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat