China Mulakan Kempen Dakwa Wuhan Bukan Punca Covid-19

- Advertisement -

WUHAN – China kini giat berusaha menonjolkan Wuhan sebagai ‘mangsa’ COVID-19 yang berjaya menangani pandemik itu dan bukannya sebagai punca virus menjangkiti lebih 27 juta mangsa termasuk lebih 883,000 maut di seluruh dunia setakat ini.

Strategi itu dilihat sebagai cubaan melakar imej baharu bagi Wuhan selepas China teruk dikritik di seluruh dunia pada peringkat awal kerana gagal menangani wabak yang bermula di wilayah itu akhir Disember lalu.

Dengan slogan ‘Wuhan yang dilahirkan semula’, agensi kerajaan dan media China saban hari mengeluarkan komen dan liputan berita yang mengetengahkan usaha kawalan wabak serta pemulihan sosio ekonomi.

Perbandingan tahap kejayaan membendung wabak itu di China dengan krisis dialami Amerika Syarikat (AS) sekarang sebagai negara paling teruk terjejas di dunia akibat COVID-19 juga kerap diungkit dalam perang propaganda itu.

Kempen itu mendapat liputan meluas media dan kemuncaknya dicapai pada minggu lalu ketika pelajar sekolah rendah mula kembali ke sekolah dan Wuhan menerima tetamu dalam kalangan eksekutif syarikat multinasional.

Antara lain, wakil Panasonic, Dow dan Nokia, dibawa mengikuti rombongan khusus bagi melawat kota di wilayah tengah negara itu termasuk ke premis media asing.

Dalam lawatan tiga hari itu, delegasi berkenaan turut melawat pasar Wuhan yang sudah diubahsuai dan melalui proses sanitasi, diikuti berlayar di Sungai Yangtze sebagai tanda simbolik berakhirnya pandemik COVID-19 di kota berkenaan.

Seorang pegawai China, Lin Songtian, dalam taklimat kepada eksekutif yang terbabit dalam lawatan khas ke Wuhan itu, berkata pengunjung ke Wuhan tidak lagi perlu memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.

“Ini membuktikan kemenangan berpihak kepada Wuhan dalam perang menentang virus terbabit dan kota ini kembali rancak seperti biasa,” katanya.

Pasar makanan laut di Wuhan, yang juga lokasi dikatakan bermulanya pandemik itu, kini menjadi sebahagian daripada lawatan dan diiktiraf sifar ancaman wabak.

Pada 28 Ogos lalu, Menteri Luar China, ketika lawatan ke Eropah, mendakwa wujud kemungkinan virus itu tidak muncul buat pertama kali di China.

Strategi terbaru itu dilihat sebagai usaha memulihkan kembali reputasi China selepas COVID-19 dan memanfaatkan kejayaan menangani pandemik itu bagi mengembalikan keyakinan antarabangsa terhadapnya.

China berdepan pandangan serong daripada negara asing yang menuduh kerajaan cuba menutup krisis itu ketika awal penularan di Wuhan, menyebabkannya melarat menjadi pandemik global yang melumpuhkan ekonomi antarabangsa.

Pada masa sama, Beijing juga menghadapi kritikan dunia berikutan pelaksanaan undang-undang keselamatan di Hong Kong dan tindakan keras terhadap kumpulan pro-demokrasi.

Wuhan, bandar dengan 11 juta penduduk, menjadi wilayah bermulanya COVID-19 dan mencatatkan 80 peratus daripada 4,634 kematian akibat virus itu di China.

Kini selepas pulih sepenuhnya, tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan sejak beberapa bulan lalu, malah kesesakan lalu lintas kembali memuncak, pusat beli-belah sesak dan pengunjung luar mula membanjiri bandar itu.

Sebagai bukti kejayaan menangani virus, Wuhan menganjurkan pesta kolam dihadiri ribuan orang tanpa pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal, yang mendapat kritikan dunia apabila menjadi viral di media sosial.

Namun, China mempertahankan penganjuran pesta itu sebagai kejayaannya ‘menjinakkan’ COVID-19. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat