POKOK SENA, – Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena hari ini menyatakan sokongan padu terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Dr. Akmal Saleh, yang kini menjadi sasaran serangan politik susulan teguran beliau berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd Farhan bin Ahmad berkata, insiden tersebut bukanlah isu remeh sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menyentuh soal maruah dan kedaulatan negara.
“Jalur Gemilang adalah lambang perjuangan tokoh-tokoh bangsa yang menuntut kemerdekaan. Ia bukan sekadar kain, tetapi simbol kemerdekaan dan perpaduan negara. Memasang bendera secara terbalik, lebih-lebih lagi di sebuah institusi pendidikan, adalah satu penghinaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, tindakan Dr. Akmal menegur secara terbuka adalah satu bentuk tanggungjawab moral yang wajar disokong, bukan dijadikan sasaran serangan politik.
Farhan turut membidas pimpinan DAP yang menurutnya cuba memesongkan isu sebenar dengan memainkan sentimen simpati, kononnya bendera itu dipasang oleh individu kelainan upaya (OKU).
“Dr. Akmal tidak pernah menghina OKU atau individu tertentu. Teguran beliau ditujukan kepada pihak berwajib agar lebih bertanggungjawab terhadap simbol negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Farhan menegaskan bahawa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand mengambil serius isu penghinaan terhadap bendera kebangsaan, dan Malaysia tidak seharusnya berkompromi dalam hal seumpama itu.
“Jika bendera negara dihina, kami tidak akan berdiam diri. Bila pemimpin kami diserang kerana mempertahankan maruah negara, kami akan bangkit,” tegas beliau.
Farhan juga mengingatkan DAP agar tidak mempolitikkan isu patriotisme demi kepentingan sempit, sambil menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak anti mana-mana kaum atau golongan, tetapi menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap simbol negara.
“Kami berdiri teguh bersama Dr. Akmal suara anak muda yang berani dan berprinsip dalam mempertahankan negara,” katanya lagi.
Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di SJKC tersebut mencetuskan pelbagai reaksi minggu ini, menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang semakin hampir.



