KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara menerusi panggilan video.
Dalam panggilan video tersebut kata Anwar, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangannya untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Malam tadi saya telah mengadakan pertemuan secara maya bersama sahabat saya Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Saya turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.
“Sebelum kami memulakan perbincangan, Presiden Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya di 6 Negeri di Malaysia.
“Saya turut menyampaikan salam Azizah serta keluarga kepada Amina dan keluarga dan keinginan untuk bersua muka dalam kesempatan terdekat.
“Dalam sesi ini, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan saya untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.” kata Anwar menerusi kenyataan Facebooknya.
Selain itu ujar Anwar lagi, kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye turut dibincangkan juga.
Beliau dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.
Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye, kata Anwar.
“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
“Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023.” Jelas Anwar.
Mengenai kerjasama pertahanan jelas Anwar, mereka turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.
Menurut Anwar, beliau berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia – Turkiye.
“Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.
“Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6%). Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan perpaduan menyatakan pendirian tegas menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.
Tegas Anwar lagi, Malaysia menentang keras Islamophobia (permusuhan dan benci ke atas islam) iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden. Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.
“Lantaran itu Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam.” Ujarnya.