Malaysia Ditempat Ke-6 Melakukan Buli Siber

- Advertisement -

Membaca laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyatakan Malaysia menduduki tempat keenam di antara 28 buah negara dan tempat kedua di Asia dalam melakukan buli siber, saya tidak sedikit pun terkejut.

Pada 2018 rakyat Malaysia pernah mencipta ‘sejarah’ apabila mengejek penyanyi dan penulis lagu Britain, Dua Lipa di media sosial setelah penyanyi itu menggunakan perkataan “babi” untuk merujuk kepada ayahnya. Dalam Bahasa Albania ‘babi’ membawa maksud ‘ayah’.

Manakala pada Jun tahun ini seorang artis Korea, So Young atau dikenali dengan nama pentas ‘Babi’ telah diejak teruk oleh rakyat ini kerana nama atas pentasnya itu. Rakyat negara ini menjadikan penyanyi dan namanya sebagai bahan gelak ketawa dan meninggalkan komen-komen menguris perasaan di Instagram penyanyi berkenaan.

Selain itu Juri MasterChef Uk, John Torodo dan Gregg Wallace, wartawan British Katie Morley hinggalah Nas Daily, vlogger terkenal di Facebook dan stesyen televisyen Al Jazeera, semua tidak terlepas dari serangan netizen Malaysia.

Namakan siapa sahaja, netizen Malaysia sedia untuk bertempur. Netizen di Malaysia atau lebih dikenali sebagai ‘tentera bawang’ akan menggunakan segala data, kreativiti, penyiasatan dan apa sahaja yang boleh untuk terus menyerang sehingga ‘musuh’ menjadi lemah.

Pendekatan melampau

Walaupun perbuatan netizen Malaysia ini kadang-kadang bertujuan baik untuk mempertahan nama negara, mencari keadilan, meluahkan perasaan dan sebagainya, tetapi cara yang digunakan oleh kumpulan ini adalah agak menggerunkan dan melampau sehingga mampu menjatuhkan maruah mereka yang mungkin tidak terlibat dalam satu-satu isu berkenaan.

Contohnya seperti peristiwa seorang lelaki yang didapati bergaduh dan menendang jatuh motosikal yang dibonceng seorang wanita dan anaknya. Walaupun yang melakukan aksi melampau itu adalah lelaki yang menendang motosikal berkenaan, tetapi wanita yang dipercayai isteri kepada pelaku dan ada bersama pelaku semasa kejadian juga dicari data peribadi beliau dan diviralkan.

Ada netizen yang mencadangkan agak wanita berkenaan menceraikan suaminya. Persoalannya di sini, apakah salah wanita berkenaan? Kenapa wanita itu sekali disalahkan oleh netizen dan dimalukan dalam alam siber sedangkan dalam kejadian itu wanita berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan?

Buli dan harga sebuah nyawa

Netizen juga secara tidak sedar membuli seseorang apabila memuatnaikkan komen, gambar, data dan sebagainya tanpa usul periksa. Ada juga netizen yang sering terburu-buru dan mengaitkan apa sahaja yang berlaku dengan isu perkauman, penghinaan fizikal dan mendedahkan data peribadi. Perkongsian benda-benda yang tidak sepatutnya dikongsi seperti rakaman-rakaman secara rahsia yang diakukan oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab untuk memalukan seseorang, semuanya merupakan perbuatan buli alam siber.

Dalam hal ini, pada 19 Mei 2020, seorang wanita berusia 20 tahun ditemui mati di biliknya selepas dipercayai menggantung diri kerana tidak tahan dengan kecaman dan komen hinaan yang diterimanya di Facebook gara-gara video tik tok bersama rakan sekerja yang merupakan warganegara Bangladesh menjadi tular dan mengundang rasa tidak puas hati netizen.

Apakah tindakan netizen yang memberikan komen dalam halaman sosial itu apabila sedar bahawa video tik tok itu merupakan koleksi peribadi wanita berkenaan dan diviralkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab? Adakah netizen juga sedar, setiap komen yang mereka berikan terhadap video itu menyumbang kepada keputusan wanita itu untuk membunuh diri. Kini selepas wanita itu meninggal, apakah hasil yang diperoleh oleh netizen di negara ini?

Fikir dahulu sebelum kongsi

Adakah netizen sedar bahawa buli siber ini boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja termasuk diri mereka sendiri pada bila-bila masa saja? Pesanan kepada netizen Malaysia, berkongi maklumat adalah tidak salah, tetapi sila pastikan dulu maklumat itu adalah benar dan maklumat itu boleh membina pemikiran dan bukannya maklumat palsu yang memecah-belahkan rakyat negara ini atau membawa kemudaratan.

Pastikan semua maklumat yang dibaca atau dilihat adalah betul sebelum berikan komen yang matang. Jangan memberikan komen berunsur perkauman atau penghinaan sehingga boleh membawa kehancuran kehidupan orang lain.

Semua manusia melakukan kesalahan, jangan berselindung di sebalik gajet moden dan bertindak seperti mereka yang tidak pernah melakukan kesalahan dan menyerang orang lain secara terburu-buru. Fikir dahulu sebelum bertindak. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada faedahnya. Kalau tiada apa yang baik untuk diperkatakan baik jangan berkata-kata.

Jangan jadi penyumbang kepada kehancuran hidup orang lain.

– BERNAMA; Foto: Sumber Internet

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat