OPR Tak Naik, Kekal 3.00 Peratus – BNM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ia selepas MPC membuat keputusan luar jangkaan pada Mei dengan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC katanya akan terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Walaubagaimanapun katanya, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi.

“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

BNM berkata, pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini.

Katanya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat juga dijangka kekal ketat dengan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Ini terutamanya katanya disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

“Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada beberapa bulan ini.

“Keadaan itu berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka,” katanya.

Bank pusat berkata, pertumbuhan bagi bulan ke hadapan 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Perbelanjaan isi rumah katanya terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.

Katanya, ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan.

“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan
pertumbuhan kredit yang berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, BNM berkata, prospek pertumbuhan bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.

Risiko pertumbuhan katanya menjadi lebih tinggi pula berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas.

Inflasi keseluruhan juga katanya terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah.

Katanya, walaupun inflasi teras turut menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua 2023 katanya diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan.

“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat