Ruffedge tetap padu

- Advertisement -

SEINGAT saya mungkin 2001, tahun di mana berlangsungnya salah satu konsert kumpulan hip hop popular ketika itu, Too Phat di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Selain Too Phat sebagai tarikan utama, saya yang ditugaskan membuat liputan konsert itu tertarik dengan satu kumpulan R & B / hip hop yang belum dikenali di arena muzik perdana ketika itu iaitu Ruffedge.

Malam itu mereka bersama satu lagi kumpulan R & B, VE membawakan lagu popular Boyz II Men iaitu End Of The Road. Walaupun ia lagu ‘cover’, tapi gabungan vokal Ruffedge cukup padu! Memang ‘boyband’ ini ada ‘sesuatu’.

Sabtu lalu, selepas 21 tahun Ruffedge sekali lagi di pentas di depan mata saya. Kali ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC menerusi ‘sold out concert’ iaitu Konsert Ruffera.

Dalam usia melewati 40-an dan lewat 30-an, Ruffedge yang kini dianggotai Cat Farish, 48; Zain, 44; Azan, 48; Mode, 46; dan Sein, 39, tetap ‘happening’ dan energetik. Seperti biasa, vokal mereka tetap padu.

Dalam konsert berdurasi satu setengah jam itu, Ruffedge yang diiringi pemuzik diketuai Datuk Acis menyampaikan 13 lagu.

 

ANTARA kumpulan R & B dan hip hop terbaik tanah air.

 

Secara peribadi, saya sukakan segmen solo di mana setiap seorang daripada mereka menyampaikan lagu solo masing-masing. Ia sesuatu yang jarang dilakukan Ruffedge dalam persembahan sebelum ini.

Ia bermula dengan Zain yang menyampaikan lagu April Shower (nyanyian asal Dru Hill), Cat Farish (Papa Jahat), Sein (No One Else Come Close – nyanyian asal Joe), Azan (Sabar Menanti – nyanyian asal Broery Marantika) dan Sein (Still – nyanyian asal Brian McKnight).

Menurut Mode, segmen solo memang ada dilakukan sejak dulu, tetapi selalu terbatas dengan masa.

“Semua anggota Ruffedge ada kekuatan masing-masing. Tidak ada penyanyi utama dalam Ruffedge, semua boleh menjadi utama dan juga menjadi penyanyi latar.

“Konsert kali ini memang berbeza dan kami memang ada perancangan untuk segmen solo itu. Maksudnya setiap daripada kami membawakan lagu daripada penyanyi yang banyak memberi pengaruh kepada kami,” katanya dalam temubual selepas konsert.

Mereka turut membawakan medley lagu ‘cover’ iaitu Azura (Datuk Jamal Abdillah), Suraya (Headwind), Rozana (Search) dan Tipah Tertipu daripada album kedua mereka, Defined.

Azan berkata, dia memilih lagu Suraya kerana kagum dengan suara Datuk Zainal Abidin yang juga penyanyi Headwind.

“Zainal antara yang banyak memberi pengaruh kepada vokal saya. Dia memiliki vokal yang sangat hebat. Letak mikrofon jauh dari mulut, suaranya tetap besar dan jelas,” katanya.

Bagi Azan, jika di Amerika Syarikat, Zainal mungkin setaraf penyanyi legenda R & B dan soul, Marvin Gaye.

“Saya rasa dia (Zainal) ‘makhluk asing’ kot. Vokalnya cukup hebat. Saya kaji macam mana nak kuatkan suara seperti Zainal,” katanya.

Konsert Ruffera di DFP adalah konsert keempat Ruffedge sejak 2018.

Apa yang menarik, semua tiket konsert berkenaan habis dijual sekali gus membuktikan Ruffedge terus diminati walaupun mereka pernah ‘berhenti’ seketika membawa haluan masing-masing pada 2008.

Lagu Khayalan dan Tiada Lagi Cinta sebagai pembukaan konsert itu sudah membuatkan penonton yang kebanyakannya wanita tidak senang duduk.

Ruffedge bukan saja hebat dari segi vokal dan rap, tetapi juga ‘showmanship’. Malah, mereka juga adalah penghibur kerana mampu berkomunikasi baik dengan penonton.

Dalam erti kata lain, aksi bersahaja mereka berkomunikasi dan berlawak membuatkan semua terhibur.

 

RUFFEDGE terus diminati.

 

Nyata sekali pengalaman membuatkan mereka tampil lebih yakin.

Ruffedge turut membawakan lagu disukai penonton seperti Seperti Mereka dan Lemas. Lebih menarik, mereka menyampaikan lagu Matinya Sebahagian Jiwa dari album Defined yang tidak pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan.

“Kami tak nyanyi dulu sebab syarikat rakaman tak benarkan. Mereka kata lagu itu panjang sangat,” kata Azan sebelum mendendangkan lagu itu.

Selain itu, mereka turut membawakan lagu baru berjudul Belenggu yang bakal dimuatkan dalam album terbaru Ruffedge.

Ruffedge menutup kemeriahan konsert pada malam itu dengan lagu Bila Rindu dan ‘encore’ lagu Khayalan yang membuatkan penonton bangkit menari bersama.

Bakal tampil album baharu

Khas buat peminat mereka, Ruffedge juga bakal tampil dengan album terbaru mengandungi 12 lagu tidak lama lagi.

Sein berkata, album itu siap dirakam hujung tahun lalu dan ia disiapkan ketika penularan Covid-19. Ia mula dirakam pada 2019 dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sekali gus menjadi album Ruffedge paling lama dirakam.

“Ia ambil masa juga. Sebenarnya bagus juga sebab kami ada masa untuk tengok dan rombak balik. Betulkan mana-mana yang patut. Jadi, ia lebih teliti,” katanya yang menjangkakan album itu akan berada di pasaran dalam masa sebulan dua ini.

Ditanya bagaimana mereka yakin untuk menghasilkan album penuh ketika ini, Sein berkata, tujuan mereka membuat album bukanlah untuk mencari keuntungan dan sebagainya, sebaliknya mereka melakukannya untuk peminat.

“Sejak 2018 kami dah buat empat konsert ‘sold out’, jadi kami rasa perlu berikan peminat album dan lagu baru. Kalau ada untung tu, rezekilah. Tapi ini lebih kepada nak menghargai peminat,” katanya.

Cat berkata, mereka adalah daripada generasi artis yang menghasilkan album dan mereka akan teruskannya.

“Kami tak nak buat single saja. Lagipun kalau nak buat konsert, kita kena ada katalog lagu yang banyak,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat