Jual Keropok Lekor Demi Kelangsungan Hidup Anak, Isteri

- Advertisement -

PASIR PUTEH – “Nok wi makan anak bini, tokleh nok kijo (Nak beri makan anak isteri, tak boleh kerja),” itu ayat tertera pada potongan kotak yang diikat pada beg galas dibawa Mohamad Amirul Adli Azman setiap hari ketika menunggang motosikal untuk menjual keropok lekor rebus.

Mohamad Amirul Adli, 27, dari Taman Sentosa, Selising, di sini, berkata ayat itu bukan ditulis untuk meraih simpati tetapi salah satu ikhtiarnya bagi menghebahkan kepada orang ramai yang dia menjual makanan berkenaan.

Menurutnya, dia sebelum ini bekerja sepenuh masa sebagai pembantu kedai makan tetapi kini hanya secara sambilan iaitu tiga hari dalam seminggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demi kelangsungan hidup, Mohamad Amirul Adli menjual keropok lekor dan segalanya bermula pada Julai lalu ketika kedai makan tempatnya bekerja ditutup sementara akibat PKP.

Semuanya dilakukan demi isteri, Nor Laila Yusoff, 30, yang hanya suri rumah dan tiga anaknya iaitu Raja Muhammad Ariff, 10, Raja Nur Amalin Aisyah, 7, dan Nur Adriana Mikayla, 15 bulan.

“Selepas kedai makan ditutup, saya cuba cari pekerjaan lain tetapi tidak berjaya dan akhirnya nekad menjual keropok lekor.

“Ikutkan tiada modal tetapi saya ambil bekalan keropok lekor dulu untuk dijual dan cabaran awal adalah mencari pelanggan.

“Dengan motosikal, saya pusing sekitar Kota Bharu dan percubaan itu berhasil apabila jualan semakin mendapat sambutan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Amirul Adli berkata, dia lazimnya menjual keropok lekor bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam atau sebelah pagi jika bekerja pada waktu petang.

Katanya, pendapatannya tidak menentu kerana bergantung kepada hasil jualan tetapi ada kalanya mencecah RM100 sehari dan 1 kilogram (kg) dijual dengan harga RM13 manakala RM36 untuk 3 kg.

“Saya menjual keropok lekor setiap hari dan selain Kota Bharu, saya pernah juga ke Tumpat serta paling jauh ke Tanah Merah yang jaraknya 38 kilometer (km) dari Pasir Puteh.

“Alhamdulillah, ada saja yang membeli terutama apabila melihat saya berhenti di lampu isyarat dan paling banyak 160 bungkus sehari (terjual). Sejak semalam, ramai hubungi serta hantar kiriman WhatsApp, rupanya kerana abang Ahmad Fedtri Yahya (personaliti TV3) berkongsi kisah saya di Twitter.

“Saya memang pernah menghantar kiriman mesej kepadanya di Facebook (Fb) untuk minta promosikan keropok lekor dan tak sangka dia benar-benar mahu membantu,” katanya.

Katanya, biarpun menghadapi pelbagai cabaran dia bertahan demi menyara keluarga termasuk ibu dan adik perempuannya yang masih bersekolah.

“Saya anak sulung dalam keluarga jadi perlu jaga kebajikan ibu dan adik juga sejak ayah meninggal dunia akibat kemalangan pada 2009. Kiranya, tanggungjawab dan komitmen bulanan saya besar jadi sebab itu perlu berusaha lebih.

“Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membeli keropok lekor saya dan bantu kongsi gambar saya ketika di jalan raya. Semoga semua dimurahkan rezeki dn dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat