KUALA LUMPUR – Perdana Menteri membantah keras tuduhan dan persepsi liar kononnya Kerajaan Madani berdiam apabila agama Islam dihina.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tuduhan seumpama itu adalah fitnah dan tidak berasas.
Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata,Perdana Menteri sedar bahawa wujud usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan yang cuba menanam persepsi “double standard” dalam mengambil tindakan.
“Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali. Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa.
“Tuduhan dan persepsi kononnya Kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas,” katanya pada Khamis.
Menurut Tunku Nashrul, mengenai isu semasa melibatkan sindiran terhadap agama, Perdana Menteri memberi peringatan kepada semua agar usah gunakan
kesempatan ini untuk membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian.
“Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa. Contohnya apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stoking, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000; seorang lelaki persenda perkataan “Allah” didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan; peniaga jagung bakar letak notis perkauman, didenda RM400 manakala Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000.
“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa, dan akhirnya dihukum dan kesemua tindakan tersebut adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara,” jelasnya.
Kata beliau lagi, ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya, dan kaum di mana-mana
ruang di Malaysia.
“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” katanya.