“Maafkan Amzad tak sesekali rendahkan darjat saya” – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan jalan damai yang dipilihnya apabila membuat penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman fitnah membabitkan beliau dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Kata Anwar, memaafkan itu tidak sama sekali merendahkan darjat manusia, bahkan mengangkat kedudukan hamba di sisi Tuhannya.

Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, dengan penarikan semula kenyataan fitnah yang dilemparkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu kepada Anwar semalam, maka PM berhasrat untuk tidak meneruskan persengketaan ini atas semangat dan penegasan dari bulan Ramadan yang mulia agar kita mengambil pengajaran untuk tidak bermudah dalam melempar sesuatu tuduhan kepada insan yang lain.

“Ini kerana ia bukan sahaja menimbulkan fitnah kepada yang tertuduh, malah ia turut mengembalikan fitnah kepada si penuduh.

“Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, amalan jelek sebegini mesti dihentikan dan tidak dibudayakan, terutamanya di kalangan pejuang-pejuang Islam.

“Amalan berpuasa mesti menjentik dhamir manusia agar kembali kepada fitrah asal kejadian termasuk menghidupkan budaya wacana yang segar dan menolak amalan fitnah memfitnah,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman fitnah membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani jam 9 pagi pada Rabu.

Dalam prosiding tersebut, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik tuntutan masing-masing tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes berkenaan.

Menurut kenyataan bersama yang dibacakan di mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian peribadi tersebut bagi memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar dan penting untuk negara.

“Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian ini di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

“Ia juga memandangkan terdapat lebih isu lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian,” kata kenyataan itu.

Ahmad Amzad menarik balik kenyataannya yang dibuat pada 7 Disember 2022, manakala Anwar menarik balik saman tersebut tanpa sebarang kos.

Anwar diwakili peguam Datuk Sankara Narayanan Nair, Narendran Letchiemanan dan Wong Guo Jin dari firma guaman S N Nair & Partners, manakala Ahmad Amzad diwakili peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim dan kakitangan mahkamah serta berharap keputusan ini dihormati semua pihak demi kesejahteraan negara.

Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Ahmad Amzad pada 22 Disember 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat