MUAR – Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan membuat penilaian terbaru terhadap kerjasama dengan PAS menerusi ikatan Muafakat Nasional (MN) namun, Tan Sri Annuar Musa masih tidak berputus asa.

Beliau malah yakin jenama Muafakat Nasional itu akan diberi ‘nafas baru’ sekiranya berlaku perubahan dalam carta organisasi pucuk pimpinan UMNO selepas pemilihan parti akan datang.

Annuar yang juga orang kuat di sebalik kerjasama dua parti politik Melayu Islam itu bertegas bahawa rakyat sangat sukakan Muafakat Nasional apabila melihat pimpinan kedua-dua parti berhikmah, bersederhana dan bersatu hati dan perkara itu tidak boleh dinafikan.

“Tidak meneruskan MN itu cuma pendapat individu, sebagai ahli parti kita kena tunggu parti buat keputusan secara rasmi.

“Waktu kita tubuhkan MN kita buat ikut jalur parti, saya Setiausaha Agung waktu itu. Setakat ini tidak ada apa-apa keputusan secara rasmi di mana-mana peringkat parti, jadi saya ambil dasar menghormati pandangan individu,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian watikah Komuniti Keluarga Malaysia (Zon Utara) di Muar pada Ahad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia malah memberi tahu tahun ini UMNO wajib menjalankan pemilihan.

Maka kata Annuar pada 2023 UMNO ada saf pimpinan yang akan ditentukan oleh ahli-ahli UMNO.

“Siapa dia (Presiden UMNO akan datang) kita tidak tahu. Pada waktu itu juga pimpinan akan mempunyai cara dan pendekatan sendiri.

“Saya ambil sikap terbuka apa yang parti putuskan, sesuatu akan berubah siapa yang memimpin. Begitu juga politik masa depan keupayaan kerjasama dengan pihak lain kerana politik pastinya membabitkan kerjasama bukannya individualistik,” ujar Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Sementara itu, Annuar juga memuji kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan kematangan politik yang tinggi.

“Kerajan pimpinan Perdana Menteri tunjukkan kematangan politik tinggi bukan sahaja dengan parti sahabat dalam kerajaan malah juga pembangkang.

“Ismail Sabri dapat tunjukkan kesederhanaan politik kerana politik bukan perjuangan individu,” tegas Annuar.

Menurut beliau adalah lebih manis sekiranya UMNO mengamalkan pendirian politik yang disenangi rakyat.

“Saya tak kecewa, kerana pada saya MN masih ada dan dalam jiwa rakyat Melayu dan Islam. Tak kira parti apa mereka suka kepada bersatu dan bekerjasama.

“Saya rasa saya tidak silap, saya rasa dalam hati kecil semua orang Melayu mereka suka bekerjasama. Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga kerana orang suka sangat dengan MN, itu jangan kita nafikan.

“Rakyat suka, rakyat senang hati bila tengok pemimpin-pemimpin bersederhana, bersatu hati jadi di bawah itu lebih ramai lagi yang sokong MN.

“Kalau kita amal politik melampau-lampau orang benci, rakyat suka kepada bersatu padu,” ulas Annuar.

4 Mac lalu, Zahid memberi gambaran bahawa UMNO tidak akan membuat penilaian terbaru terhadap MN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bahkan katanya biarlah MN terletak dalam suatu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.