Sediakan Lokar Di Sekolah Rendah Secara Berfasa – KPM

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan isu beg berat yang dialami murid sekolah secara menyeluruh.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, berdasarkan penelitian, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

Menurut beliau, pihaknya akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa.

“Bagi fasa 2, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi yang dijangka pada 2023.

“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di kelas masing-masing.

“Ini adalah pendekatan baharu yang buat pertama kalinya KPM menyediakan lokar kepada murid di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini,” katanya.

Radzi Jidin berkata, pihaknya juga akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah kepada tiga atau empat subjek sehari.

“Pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan melihat aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan, selain sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.

“Ia berdasarkan jadual waktu mengikut kitaran minggu. Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu,” katanya.

Selain itu, KPM menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek tidak melebihi 2 buku pada satu-satu masa dan setiap buku latihan ini tidak boleh melebihi 80 halaman.

Tambahnya pendekatan membabitkan buku aktiviti dan kerja dengan murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti disediakan KPM.

“Buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji di luar waktu PdP di sekolah, selepas pihaknya mendapati ramai murid membawa pelbagai buku berkenaan yang secara tidak langsung menambah kepada berat beg mereka.

“Pendekatan seterusnya adalah berkaitan buku teks digital dan KPM menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan.

“Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA),” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka.

Berkaitan pelaksanaan PdP di sekolah dengan guru pula digalakkan mengguna pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau terbeza.