Tukar SUK Notis 24 Jam, Sulaiman Anggap Prosedur Biasa Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR- Pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad diklasifikasi perkara biasa dalam landskap kerajaan,” kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tegas beliau, tidak timbul soal berlaku ‘kemelut’ dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga memaksa pertukaran seperti didakwa sesetengah pihak.

“Tukar (SUK) itu perkara biasa kerana datang, masuk, pergi dalam setiap jawatan itu merupakan suatu proses dan tidak ada apa yang pelik.

“Kalau dia diperlukan dalam satu-satu tempat yang lebih baik, dia pergilah. Jadi tidak timbul soal kemelut ke apa sebab saya sendiri tahu sudah lama,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh pada Khamis seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas pertukaran mendadak itu, Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari menuntut penjelasan kerajaan negeri.

“Saya mendengar berita bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ditukarkan ke Putrajaya dengan notis 24 jam. Kerajaan Negeri wajar memberi penjelasan.

“Penjawat Awam yang baik “dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau” tetapi mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul,” catat Adly di Facebooknya.

Dalam pada itu mengulas kenyataan Adly yang mendakwa pertukaran itu seperti tergesa-gesa, Sulaiman sebaliknya menegaskan ia dilakukan mengikut proses yang betul.

“Suka hatilah orang nak cakap kerana kita tahu apa sebenarnya. Mungkin zaman dia benda ini tidak berlaku, zaman saya berlaku kerana ada sebab musabab.

“Saya sendiri sudah tahu lama, sebulan atau tiga bulan lalu saya dah tahu kerana itu perkara biasa kepada mana-mana ketua jabatan dan dia (SUK) mungkin ditukarkan ke satu kementerian yang lebih memerlukan beliau,” tambahnya.

Terdahulu pertukaran SUK Melaka menjadi pertikaian pelbagai pihak selepas didakwa Kamel menerima notis 24 jam dan digantikan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Dalam pada itu, meskipun Sulaiman enggan mengesahkan notis 24 jam berkenaan, namun menurut sumber notis itu dikeluarkan secara mengejut.

“Notis pertukaran itu memang diberikan dalam tempoh 24 jam yang mana beliau terima pada 4 Januari lalu dan diminta melaporkan diri di Putrajaya pada 5 Januari.

“Walaupun pertukaran itu mengejut, sebagai penjawat awam beliau akur lah dengan arahan dan diberikan tetapi akan meneruskan tugas di kementerian mana belum pasti,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata.