ASEAN kini mengisytiharkan perang terhadap pengubahan wang haram (money laundering) melalui satu deklarasi bersejarah yang dimeterai di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpurpada akhir Oktober lalu.
Dokumen rasmi yang dinamakan Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Memerangi Pengubahan Wang Haram ini menggariskan 13 komitmen utama bagi memperkukuh undang-undang, teknologi, dan kerjasama serantau melibatkan agensi penguatkuasaan, kewangan dan sektor bukan kewangan.
Deklarasi ini bukan sekadar kenyataan politik, tetapi satu peralihan strategi besar ASEAN daripada pendekatan “lapor dan patuh” (report and comply) kepada pendekatan baharu yang lebih agresif “kesan, ganggu, dan pulih” (detect, disrupt & recover). Ia menandakan bahawa rantau ini tidak lagi mahu menjadi laluan selamat kepada jaringan kewangan gelap, penipuan digital, dan transaksi kripto yang sukar dikesan.

Landskap baharu jenayah kewangan serantau
Pemimpin ASEAN mengakui bahawa pengubahan wang kini beroperasi di luar batas tradisional. Jika dahulu ia hanya berlaku di institusi perbankan, kini kegiatan itu telah menular ke ruang maya melalui mata wang kripto (cryptocurrency), aset digital (digital assets) dan platform kewangan dalam talian (digital platforms) yang semakin canggih. Penjenayah menggunakan teknologi seperti blockchain untuk menyembunyikan aliran wang haram, menjadikan pengesanan semakin rumit dan memerlukan pendekatan serantau yang lebih terselaras.
Justeru para pemimpin ASEAN berikrar untuk meningkatkan perkongsian maklumat risikan masa nyata antara unit risikan kewangan (Financial Intelligence Units – FIU), mengukuhkan bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance), dan membangunkan sistem amaran awal menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI) serta analitik data (data analytics). Pendekatan ini diyakini dapat menjejak transaksi mencurigakan lebih pantas dan meningkatkan kadar pemulihan aset hasil jenayah.
Malaysia selaku tuan rumah memainkan peranan penting dalam merangka keseimbangan antara kedaulatan undang-undang negara dan piawaian antarabangsa (international standards) yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (Financial Action Task Force – FATF). Rangka kerja yang diluluskan turut menyeru negara anggota memperkukuh rangka kawal selia kewangan dan bukan kewangan (Designated Non-Financial Businesses and Professions – DNFBP) termasuk firma guaman, akauntan, ejen hartanah dan peniaga barangan mewah yang sering dijadikan saluran pencucian wang.
Selain itu, ASEAN turut menekankan kepentingan pendidikan awam dan kesedaran pengguna terhadap penipuan digital (digital scams) dan akaun keldai (mule accounts), yang semakin menjadi pintu masuk kepada sindiket antarabangsa.
Pelaksanaan standard FATF dan pemulihan aset
Deklarasi ini turut memperkukuh hubungan ASEAN dengan Kumpulan Asia-Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (Asia/Pacific Group on Money Laundering – APG) bagi memperluas latihan teknikal dan perkongsian data serantau. Antara fokus utama sepanjang tahun 2026 ialah pembentukan saluran komunikasi risikan yang lebih pantas, penambahbaikan undang-undang ekstradisi, dan latihan intensif kepada pegawai penyiasat serta pendakwa bagi kes berkaitan aset maya dan mata wang kripto.
Bagi Malaysia, pelaksanaan deklarasi ini bermaksud peningkatan keperluan terhadap sistem pematuhan yang lebih ketat dalam sektor perbankan dan kewangan digital. Institusi kewangan dijangka memperkukuh pemprofilan risiko, automasi pemantauan transaksi, serta melaksanakan audit pematuhan yang lebih menyeluruh berasaskan algoritma kecerdasan buatan.
Deklarasi ini juga menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa ASEAN kini bersatu dalam menentang aliran wang haram dan tidak lagi bertolak ansur terhadap penyelewengan kewangan. Dalam era digital tanpa sempadan, pengubahan wang bukan lagi isu ekonomi semata-mata, tetapi cabaran terhadap kedaulatan, keselamatan dan integriti sistem kewangan rantau ini.



