Oleh Zihan Zari
IPOH – Seramai 39 orang pelajar Tingkatan 3 dan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Hussein, Selama, Perak telah diberi pendedahan awal mengenai potensi kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui program Lawatan Sambil Belajar (LASBELA) ke Politeknik Ungku Omar (PUO) baru-baru ini.
LASBELA dikoordinasikan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) PUO merupakan salah satu inisiatif promosi pendidikan tinggi yang memberi tumpuan kepada bidang marin dan kejuruteraan perkapalan.
Ia antara program teknikal yang berdaya saing dan mempunyai permintaan tinggi di peringkat industri global.
Rombongan pelajar SMK Dato ’ HajiHussein yang diiringi oleh Kaunselor Mohd Roslan Ramli serta dua guru pengiring, telah diberi taklimat pengenalan mengenai PUO dan peluang pengajian yang ditawarkan di sini oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) PUO, Khamsiah Ishak.
Pelajar turut menerima cenderahati dan hadiah sebagai penghargaan bagi penglibatan aktif semasa sesi kuiz interaktif berlangsung.
Lawatan ini diteruskan ke Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP) di mana pelajar diberi penerangan berkaitan prospek kerjaya dalam industri marin oleh Pensyarah JKP PUO, Mizanur Rahman Mohd. Ali.
Antara segmen paling menarik perhatian pelajar adalah pengalaman ‘hands-on’ mengendalikan kapal dalam Bilik Simulasi Kapal serta tinjauan ke bengkel kejuruteraan perkapalan yang lengkap dengan fasiliti terkini.
Dalam pada itu, Ketua UKK PUO, Noor Idayu Yeop Husin berkata LASBELA dijayakan bagi menyokong agenda dan aspirasi negara dalam memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
“Ia juga bagi membimbing pilihan pendidikan dan membantu pelajar membuat pilihan yang lebih terarah selepas tamat SPM berdasarkan minat, bakat dan peluang yang ada.
“Diharap melalui program LASBELA ini, dapat menyemai minat pelajar terhadap bidang teknikal dan vokasional seawal mungkin serta membuka ruang kesedaran kepada generasi muda tentang potensi kerjaya dalam bidang yang semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa, ”katanya. – SUARA.TV



