Orang Melayu belum boleh percaya Umno, kleptokrasi dan kakitokrasi masih memenuhi cakerawala Umno – A Kadir

SEREMBAN – Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berkata, orang Melayu belum boleh tergesa-gesa memberi cek kosong kepada Umno.

Hal ini katanya, kerana ciri-ciri kleptokrasi dan kakistokrasi masih nampak jelas dalam kepimpinan tertingginya.

“Jadi, dalam kita menuju ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU ke-16, kita kena selidik dan faham sama ada Umno yang kalah PRU 2018 dan 2022 itu sudah menggantikan kepimpinan kleptokrat dan kakistokratnya dengan kepimpinan yang lebih baik.

“Minta maaflah kalau saya kata, orang Melayu belum boleh tergesa-gesa memberi cek kosong kepada Umno.

“Walaupun di sana sini ternampak kerlipan bintang harapan, tetapi ia belum cukup terang untuk menyuluh jalan keluar. Bintang-bintang sakarat (dying stars) masih memenuhi cakerawala Umno.

“Menurut ilmu kaji bintang (astronomi), bintang-bintang sakarat ini menyala dengan amat terang sebelum padam.

“Pengasas Umno Almarhum Onn Jaafar pernah berkata: “Melawan Malayan Union itu perkara kecil, yang berat ialah melawan Melayu sendiri. Melawan Melayu itu ialah melawan perangai, tabiat, dan kelakuan Melayu sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

A Kadir menjelaskan, bukan rumah, payung dan apa-apa saja tempat berteduh yang menjadi masalah namun, yang menjadi masalah adalah tuan empunya rumah, payung dan tempat-tempat berteduh itu.

“Kalau ia kapal, bukan sahaja kekukuhannya tetapi yang lebih penting adalah nakhodanya.

“Apa guna rumah luas, payung besar dan kapal penisi gagah kalau pengendalinya kleptokrat dan kakistokrat.

“Bukan parti yang penting, tetapi orang yang menganggotai dan orang yang memimpinnya. Organisasi tidak terbentuk dan runtuh dengan sendirinya.

“Bagi anggota masyarakat yang berfikiran dalam dan teliti, termasuk orang Umno, mereka tentu faham dan akui yang parti itu jatuh akibat perbuatan ketua-ketuanya sendiri.

“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 lagi, sudah ada tanda-tanda yang kepimpinan tertingginya telah mula menyimpang daripada perjuangan. Apabila skandal 1MDB meledak di merata pelosok dunia, majoriti pemimpin, ahli dan penyokong Umno menafikannya dan mempertahankan kepimpinan yang kleptokrat. Yang meminta penjelasan dipecat.

“Bukan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Pakatan Harapan (PH) yang kuat apabila berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2018, tetapi kerana Umno dan BN lemah,” bidas beliau.

Menjelaskan hal itu, wartawan veteran itu menyatakan, kleptokrasi adalah sistem kerajaan di mana pemimpin politik atau pegawai tinggi kerajaan menggunakan kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa bagi menggelapkan dana negara demi memperkayakan diri sendiri.

“Istilah ini berasal daripada gabungan perkataan Greek klepto (pencuri) dan kratos (pemerintahan), yang bermaksud “pemerintahan oleh pencuri”.

“Kakistokrasi pula merujuk kepada sistem pemerintahan yang diterajui oleh golongan yang paling tidak layak, tidak cekap dan korup.

“Istilah ini berasal daripada gabungan perkataan Yunani kakistos (paling teruk) dan kratos (pemerintahan atau kuasa),” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat